410 ketua isi rumah miskin Selangor terima bantuan tunai RM500

11 Mac 2026, 5:49 AM
410 ketua isi rumah miskin Selangor terima bantuan tunai RM500

SHAH ALAM, 11 MAC: Seramai 410 ketua isi rumah (KIR) miskin di Selangor menerima sumbangan tunai RM500 setiap seorang bagi membantu meringankan beban perbelanjaan menjelang Aidilfitri.

Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Saifuddin Shafi Muhammad berkata bantuan julung kali dilaksanakan itu disalurkan kepada penerima dalam sistem e-Kasih yang turut menerima bantuan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, inisiatif berkenaan diharap dapat membantu golongan berpendapatan rendah membuat persiapan hari raya dengan lebih baik.

Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Saifuddin Shafi Muhammad ketika ditemui pada Program Sejahtera MADANI Kebajikan: Ikatan Kasih Ramadan 1447H anjuran Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri pada 11 Mac 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Bantuan ini mungkin tidak menyelesaikan semua masalah, namun sekurang-kurangnya dapat membantu mereka membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih tenang.

“Kerajaan melalui pelbagai inisiatif termasuk bantuan tunai serta kawalan harga barangan terus berusaha memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Sejahtera MADANI Kebajikan: Ikatan Kasih Ramadan 1447H anjuran Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri hari ini.

Saifuddin berkata Kerajaan Persekutuan dan negeri terus memperkukuh pelbagai inisiatif bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan dan kesejahteraan masyarakat.

Katanya, usaha berterusan itu turut membuahkan hasil apabila Selangor berjaya menoktahkan kemiskinan tegar pada 20 Februari lalu, selepas 5,058 ketua isi rumah dikeluarkan daripada senarai sistem e-Kasih yang direkodkan pada 1 Januari.

Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Saifuddin Shafi Muhammad menyampaikan sumbangan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime pada Program Sejahtera MADANI Kebajikan: Ikatan Kasih Ramadan 1447H anjuran Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri hari ini. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Dalam majlis sama, turut disalurkan sumbangan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime berjumlah RM100,000 kepada anak-anak penerima yang sedang menuntut di sekolah menengah.

“Sumbangan SSPN ini diberikan kepada anak isi rumah penerima dengan RM500 bagi setiap penerima, manakala bantuan tunai hari ini disalurkan kepada ketua isi rumah terlibat,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.