SUKMA 2026: Empat mata pisahkan Aniq Ammar dengan gangsa

21 Ogos 2026, 5:15 AM
SUKMA 2026: Empat mata pisahkan Aniq Ammar dengan gangsa

SUBANG, 21 OGOS: Atlet menembak Selangor, Aniq Ammar Al-Syahmi Muhammad Hatta terlepas peluang meraih pingat acara 25 meter (m) pistol individu lelaki selepas menamatkan saingan di tempat keempat pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, hari ini.

Beraksi di Lapang Sasar Menembak Subang, Aniq Ammar mengumpul 559 mata, hanya empat mata di belakang penembak Pahang, Muhammad Zainal ’Azim yang meraih gangsa dengan 563 mata.

Pingat emas menjadi milik seorang lagi wakil Pahang, Cheah Zen Hong dengan 575 mata, manakala Banin Al Ghazali dari Terengganu meraih perak selepas mengumpul 566 mata.

Dua lagi wakil Selangor, Muhd Amzar Afif Ezazu dan Thaqif Norhaqeem Rozhan masing-masing menamatkan saingan di tempat keenam dan ke-13.

Atlet menembak Selangor, Aniq Ammar Al-Syahmi Muhammad Hatta (dua, kiri) ketika beraksi dalam acara 25m pistol individu lelaki SUKMA Selangor 2026 di Lapang Sasar Menembak Subang. Foto NADHIRAH FATTAH/MEDIA SELANGOR

Amzar Afif mencatat 555 mata, manakala Thaqif Norhaqeem mengumpul 522 mata.

Untuk rekod, ketiga-tiga penembak itu sebelum ini menghadiahkan pingat perak kepada Selangor menerusi acara 25m standard pistol berpasukan lelaki.

Jurulatih sambilan menembak Selangor yang juga bekas atlet kebangsaan, Hasli Izwan Amir Hasan tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya, terutama peningkatan ditunjukkan berbanding SUKMA Sarawak 2024.

“Prestasi anak buah saya kali ini saya amat berbangga, berbanding di Sarawak, pencapaian beberapa penembak meningkat amat mendadak,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut Hasli Izwan, perkembangan itu hasil latihan intensif selama lapan bulan dengan penekanan terhadap aspek disiplin dan komitmen atlet.

Jurulatih sambilan menembak Selangor Hasli Izwan Amir Hasan berpuas hati dengan prestasi anak buahnya. Foto NADHIRAH FATTAH/MEDIA SELANGOR

“Alhamdulillah dengan didikan saya dalam tempoh lapan bulan sahaja, saya lihat mereka menunjukkan disiplin yang baik dan sanggup berkorban dengan apa yang saya minta,” katanya.

Beliau turut berpandangan golongan muda wajar didedahkan kepada sukan menembak kerana disiplin menjadi aspek penting dalam acara yang melibatkan penggunaan senjata api.

“Anak-anak muda patut didedahkan dengan sukan seperti ini kerana ia bukan sekadar sukan, tetapi mementingkan disiplin.

“Kita berdepan senjata api yang berbahaya, jadi disiplin itu sangat penting,” katanya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.