Kemudahan LRT, lapang sasar moden perkukuh persiapan atlet Selangor

27 Jun 2026, 7:00 AM
Kemudahan LRT, lapang sasar moden perkukuh persiapan atlet Selangor

SHAH ALAM, 27 JUN: Kemudahan rangkaian Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran Lapang Sasar Subang memudahkan pergerakan atlet, sekali gus melancarkan persiapan kontinjen menembak Selangor menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Bapa angkat kontinjen menembak Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata kedudukan Lapang Sasar Subang yang berhampiran Stesen LRT Ara Damansara membolehkan atlet berulang-alik ke lokasi latihan dengan lebih mudah dan efisien.

"Kebanyakkan atlet datang melalui stesen LRT dan pengangkutan disediakan dari stesen LRT ke lapang sasar bagi memudahkan mereka hadir menjalani latihan.

"Kebanyakkan mereka masih bersekolah, jadi latihan dijalankan selepas waktu sekolah dan pada hujung minggu mengikut jadual yang ketat," katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata, hasil lawatan mendapati persiapan atlet berjalan lancar selain berpuas hati dengan kemudahan infrastruktur lapang sasar yang disediakan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri membelanjakan RM7 juta bagi menaik taraf lapang sasar berkenaan yang mencapai standard bertaraf dunia.

"Penyediaan infrastruktur sukan menembak dimaklumkan Kerajaan Negeri berbelanja sebanyak RM7 juta untuk menaik taraf lapang sasar yang ada kepada standard yang amat tinggi. Tahap dunia saya dimaklumkan," katanya.

Tambahnya kontinjen Selangor kini giat membuat persiapan bagi tiga acara utama iaitu riffle, free pistol dan pistol, dengan sasaran membawa pulang pingat untuk Selangor.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih yang berpengalaman termasuk bekas pemenang di sukan antarabangsa yang terus komited membimbing atlet muda Selangor.

Fahmi berharap semua atlet terus memberikan aksi terbaik sepanjang SUKMA serta mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi sebagai tuan rumah dengan menghormati atlet dari negeri lain.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.