SUKMA 2026: Eliza pecah rekod, mara final 100m gaya bebas

20 Ogos 2026, 1:51 AM
SUKMA 2026: Eliza pecah rekod, mara final 100m gaya bebas

SHAH ALAM, 20 OGOS: Atlet renang Selangor, Eliza Tan Ai Shen mencipta rekod kejohanan (MR) baharu dalam saringan 100 meter gaya bebas wanita sebelum mara ke final pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Pusat Akuatik Selangor, hari ini.

Beraksi di lorong empat dalam Kumpulan 1, Eliza mencatat masa 57.03 saat untuk memperbaharui rekod terdahulu 58.10 saat.

Catatan itu turut membolehkan atlet berusia 19 tahun berkenaan melangkah ke final acara 100m gaya bebas wanita yang dijadualkan berlangsung petang ini.

Pencapaian tersebut meneruskan prestasi cemerlang Eliza pada penampilan sulungnya di temasya SUKMA selepas meraih pingat emas dalam acara 200m gaya bebas wanita, semalam.

Eliza mencatat masa 2:05.26 saat untuk muncul juara, selain merekodkan catatan terbaik peribadi dalam perlumbaan berkenaan.

Mengulas pengalaman beraksi di hadapan penyokong tuan rumah, Eliza berkata sokongan penonton memberikan motivasi tambahan kepadanya untuk beraksi lebih baik.

“Saya tidak pernah berenang di hadapan penonton dengan pukulan gendang seperti ini. Saya dapat merasai tenaga dan semangat yang diberi oleh penonton,” katanya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.