
SHAH ALAM, 24 OGOS: Atlet menembak Pahang, Cheah Zen Hong dan perenang Selangor, Eliza Tan Ai Shen dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 selepas mempamerkan prestasi cemerlang dalam acara masing-masing.
Zen Hong, 20, menjadi atlet paling menyerlah apabila meraih sembilan pingat emas dan satu perak, selain mencipta dua rekod SUKMA.
Anugerah Olahragawan disampaikan EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi pada Majlis Penutup SUKMA 2026 malam ini, dengan disaksikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Zen Hong meraih emas antaranya menerusi acara 10 meter (m) air pistol individu dan berpasukan, 25m rapid fire pistol, 25m sport pistol individu dan berpasukan, 25m standard pistol berpasukan serta 50m pistol individu dan berpasukan.
Beliau turut membawa pulang pingat perak dalam acara 25m standard pistol individu.

Pencapaian sembilan emas itu mengatasi rekod peribadinya pada SUKMA Sarawak 2024 apabila meraih tujuh emas.
Sementara itu, kecemerlangan Eliza di kolam renang membolehkannya dinobatkan sebagai Olahragawati SUKMA 2026 selepas mengumpul tujuh pingat emas.
Perenang berusia 19 tahun itu bagaimanapun tidak dapat hadir menerima anugerah malam ini kerana sudah kembali ke luar negara bagi menyambung pengajian.
Anugerah tersebut diterima bagi pihaknya oleh Ketua Kontinjen Selangor, Abbas Salimmi Che Adzmi daripada Mohd Najwan.

Antara pencapaian terbaik Eliza ialah dalam acara 50m gaya bebas wanita apabila mencatat 26.44 saat (s), sekali gus memadam rekod SUKMA 26.50s milik Leung Chii Lin dari Sabah yang bertahan sejak 2008.
Eliza kemudian melengkapkan koleksi tujuh emas apabila mengetuai kuartet Selangor memenangi acara 4x100m rampaian wanita dengan rekod baharu temasya 4 minit 18.87s.
Prestasi cemerlang Zen Hong dan Eliza sepanjang temasya sekali gus meletakkan kedua-duanya antara atlet paling menyerlah pada SUKMA Selangor 2026.







