SUKMA 2026: Wonderkid Selangor sedia sambut baton perenang kebangsaan

24 Ogos 2026, 12:22 PM
SUKMA 2026: Wonderkid Selangor sedia sambut baton perenang kebangsaan
SUKMA 2026: Wonderkid Selangor sedia sambut baton perenang kebangsaan

SHAH ALAM, 24 OGOS: Tirai saingan renang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 berlabuh dengan Selangor bukan sahaja membawa pulang deretan pingat, malah memperlihatkan kelompok perenang muda yang berpotensi menjadi pelapis skuad kebangsaan.

Prestasi sepanjang saingan di Akuatik Selangor turut menimbulkan persoalan sama ada generasi baharu ini sudah bersedia mengambil alih baton daripada barisan perenang senior negara.

Berdasarkan pencapaian sepanjang temasya, beberapa nama jelas menunjukkan potensi untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi.

Di barisan hadapan ialah Shannon Tan Yang-Qing, perenang berusia 16 tahun yang muncul antara bintang utama temasya selepas meraih lapan pingat emas dan mencipta tiga rekod SUKMA.

Shannon menyerlah dalam beberapa acara termasuk 400 meter (m) dan 200m rampaian individu wanita serta 200m dan 100m kuak kupu-kupu wanita, selain membantu kuartet Selangor memenangi acara berganti-ganti.

Dalam acara 200m kuak kupu-kupu, dia mencatat 2 minit 15.77 saat (s) pada saringan sebelum memperbaikinya kepada 2:15.13s di final.

Catatan itu hanya 0.83s di belakang rekod kebangsaan 2:14.30s milik Khoo Cai Lin yang bertahan sejak 2009, sekali gus memberikan gambaran mengenai potensi Shannon untuk terus berkembang.

Shannon Tan Yang-Qing muncul juara acara 400 meter rampaian perseorangan wanita selepas mencatat masa 4 minit 48.50 saat. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Shannon, Eliza dua aset berbeza

Jika Shannon mewakili prospek jangka panjang, Eliza Tan Ai Shen pula semakin hampir mengukuhkan kedudukannya di pentas senior.

Perenang berusia 19 tahun itu menamatkan SUKMA dengan tujuh emas, termasuk menyapu bersih acara 50m, 100m dan 200m gaya bebas wanita.

Eliza turut mencipta rekod SUKMA dalam 50m gaya bebas menerusi catatan 26.44s, memadam rekod 26.50s yang bertahan selama 18 tahun.

Pencapaian lebih besar hadir dalam acara 100m gaya bebas apabila dia memperbaharui rekod kebangsaan dua kali pada hari sama, bermula dengan 57.03s pada saringan sebelum mencatat 56.78s pada final.

Shannon dan Eliza berada pada tahap perkembangan berbeza, namun kedua-duanya memberi Selangor aset penting untuk masa depan — seorang sedang menghampiri rekod kebangsaan, manakala seorang lagi sudah mencipta rekod di peringkat senior.

Atlet renang Selangor, Daniel Scott William beraksi dalam acara 100 meter (m) gaya kuak lentang lelaki dan meraih pingat emas ketika SUKMA Selangor 2026 di Pusat Akuatik Selangor, Shah Alam pada 23 Ogos 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Kekuatan bukan pada dua nama

Namun, kekuatan renang Selangor tidak hanya bergantung kepada Shannon dan Eliza.

Daniel Scott Williams muncul antara tonggak lelaki selepas mengungguli acara 50m, 100m dan 200m kuak lentang, manakala Goh Li Hen menyerlah dalam kuak kupu-kupu serta membantu kuartet 4x200m gaya bebas lelaki meraih emas.

Goh Li Jie, Cayden Gooi, Chong Yuan Yi, Rainne Foo Jie Xin, Khoo Sue Enn dan Yoong Jia Jia turut memainkan peranan menerusi acara individu serta berganti-ganti.

Kutipan 20 emas menunjukkan Selangor memiliki kedalaman skuad, terutama apabila beberapa kombinasi kuartet turut mampu bersaing pada tahap tinggi.

Akuatik Selangor juga menjadi pentas kepada beberapa rekod baharu sepanjang temasya, bukan sahaja menerusi perenang tuan rumah.

Tong Yu Jing dari Pulau Pinang misalnya mencipta rekod 22.83s dalam 50m gaya bebas lelaki, manakala Kelly Yao Teo dari Sarawak memperbaharui rekod 1,500m gaya bebas wanita.

Deretan catatan itu memperlihatkan SUKMA kali ini bukan sekadar medan memburu pingat, tetapi turut menjadi pentas peningkatan prestasi perenang muda negara.

Atlet renang Selangor, Goh Li Jie beraksi dalam acara 800 meter (m) gaya bebas lelaki dan meraih pingat perak pada SUKMA Selangor 2026 di Akuatik Selangor, Shah Alam pada 23 Ogos 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Cabaran sebenar bermula selepas SUKMA

Kejayaan di SUKMA bagaimanapun tidak boleh menjadi titik akhir kepada kelompok ini.

Shannon memerlukan laluan pembangunan yang tersusun untuk membolehkannya terus mendekati rekod kebangsaan sebelum mencabar perenang terbaik di peringkat Asia.

Eliza pula perlu mendapat pendedahan konsisten dalam persekitaran senior dan pertandingan antarabangsa bagi memastikan momentum prestasinya dapat diteruskan.

Proses sama perlu dilalui Daniel, Li Hen dan rakan sepasukan jika mereka mahu berkembang daripada juara SUKMA kepada atlet yang mampu bersaing di peringkat serantau.

Laluan seterusnya jelas — skuad senior kebangsaan, Sukan SEA, Kejohanan Asia, Kejohanan Dunia dan akhirnya Sukan Olimpik.

Justeru, nilai sebenar 20 emas yang diraih Selangor bukan hanya terletak pada kejayaan kali ini, tetapi sejauh mana perenang terbabit mampu berkembang dalam beberapa tahun akan datang.

Jika kelompok ini terus diberi ruang dan pembangunan yang tepat, Selangor berpotensi menjadi antara sumber utama bakat kepada skuad renang kebangsaan.

SUKMA 2026 mungkin menjadi pentas yang memperkenalkan mereka kepada seluruh negara, tetapi perjalanan sebenar baru bermula.

Baton sudah mula dihulurkan. Kini terpulang kepada generasi baharu Selangor untuk membuktikan mereka mampu membawa cabaran Malaysia lebih jauh, bukan sahaja di peringkat serantau tetapi juga ke pentas Asia dan dunia.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.