SHAH ALAM, 19 OGOS: Sebuah premis makanan dikenakan tindakan termasuk perintah penutupan selepas pemeriksaan mendapati lesen perniagaan tamat tempoh dan tahap kebersihan kurang memuaskan.
Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) memaklumkan pemeriksaan dijalankan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal & Kesihatan Persekitaran (JPSPKP) bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
Menurutnya, tindakan itu susulan aduan berkaitan masalah longkang tersumbat dan berbau yang dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa makanan.
Hasil pemeriksaan mendapati lesen premis berkenaan sudah tamat tempoh dan masih belum diperbaharui.
Pemeriksaan turut mendapati tahap kebersihan premis makanan terbabit kurang memuaskan.
“Susulan itu, JPSPKP mengeluarkan notis kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Establisymen Makanan MDKL 2007 serta Notis Arahan Tindakan Pembetulan.
“Dalam masa sama, PKD turut mengeluarkan Notis Perintah Penutupan Premis serta tiga notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983,” menurut MPKL menerusi Facebook.
Tiga notis berkenaan melibatkan kesalahan berkaitan pengurusan sampah, penyimpanan bahan mentah dan bahan yang telah diproses serta rekod pengendali makanan.
Tindakan terhadap premis terbabit diambil bagi memastikan pengusaha makanan sentiasa mematuhi aspek kebersihan dan keselamatan makanan.
Ia juga bagi memastikan pengusaha mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam pengendalian premis makanan.










