SHAH ALAM, 26 JULAI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengarahkan sebuah premis makanan di Jalan Hilir 7, Taman Angsana Hilir memasang sistem perangkap minyak (grease trap) dengan segera selepas dikenal pasti menjadi punca pencemaran longkang monsun di kawasan itu.
MPAJ memaklumkan pemeriksaan mendapati longkang berkenaan dipenuhi lapisan minyak tebal akibat pelepasan air cucian sinki, sisa bahan mentah, peralatan memasak serta sisa berminyak yang disalurkan terus ke sistem perparitan tanpa rawatan.
Semakan di premis itu turut mendapati aktiviti memasak, penyediaan makanan dan kerja mencuci dijalankan tanpa pemasangan sistem perangkap minyak yang diwajibkan.
“Empat lokasi sinki termasuk di bahagian belakang premis yang berhampiran longkang monsun juga didapati tidak dilengkapi perangkap minyak, menyebabkan sisa minyak dan lemak terus mengalir ke longkang,” menurut MPAJ di Facebook.

MPAJ berkata pihaknya sebelum ini telah melaksanakan kerja pembersihan longkang monsun di Jalan Hilir 7 pada 7 Julai lalu melalui kontraktor yang dilantik.
Bagaimanapun, pencemaran berulang akibat pelepasan sisa berminyak menjejaskan keberkesanan kerja pembersihan tersebut.
Sehubungan itu, premis berkenaan turut diarahkan menghentikan pelepasan air cucian berminyak ke longkang sehingga sistem perangkap minyak dipasang dan berfungsi dengan sempurna.
Pemilik premis juga diarahkan melaksanakan kerja pembersihan longkang monsun yang tercemar dengan segera bagi mengelakkan pencemaran berterusan serta memastikan sistem perparitan berada dalam keadaan bersih dan berfungsi dengan baik.









