11 premis tanpa lesen dikesan, MBSJ dan MPS perkasa penguatkuasaan

12 Jul 2026, 10:00 AM
11 premis tanpa lesen dikesan, MBSJ dan MPS perkasa penguatkuasaan

SHAH ALAM, 12 JULAI: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mempergiat operasi penguatkuasaan terhadap premis makanan dan perniagaan bagi memastikan pematuhan syarat pelesenan, tahap kebersihan serta peraturan yang ditetapkan.

MBSJ menerusi Jabatan Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Pengurusan Alam Sekitar dan Jabatan Penguatkuasaan melaksanakan Operasi Pemeriksaan Premis Makanan di sekitar SS15, Subang Jaya pada 8 Julai lalu.

Operasi itu melibatkan pemeriksaan terhadap 29 daripada 49 premis makanan yang dikenal pasti dengan 11 premis didapati beroperasi tanpa lesen manakala sembilan lagi tidak beroperasi ketika pemeriksaan dijalankan.

“Hasil pemeriksaan mendapati 11 premis memperoleh Gred A, 13 Gred B, empat Gred C manakala sebuah premis menerima Gred D diarahkan tutup kerana gagal memenuhi tahap kebersihan minimum serta mempunyai beberapa ketidakpatuhan pengendalian makanan.

“Selain itu, sebanyak sembilan Notis Tawaran Kompaun (NTK) dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan MBSJ 2007 dan Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan MBSJ 2007,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melaksanakan operasi bersepadu di sekitar Pasar Borong Selayang Baru dengan mengeluarkan 24 kompaun serta menarik balik dua lesen perniagaan.

Sementara itu, MPS turut melaksanakan Operasi Bersepadu Pematuhan Syarat Pelesenan di sekitar Pasar Borong Selayang Baru pada 10 Julai lalu dengan penglibatan beberapa jabatan berkaitan.

“Operasi itu menyaksikan Jabatan Pelesenan mengeluarkan dua notis pematuhan syarat, lima notis tutup premis, melaksanakan penutupan lima premis, menarik balik dua lesen perniagaan serta mengeluarkan dua kompaun.

“Pada masa sama, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan (JPSPK) pula menyita 62 ekor ayam hidup, mengeluarkan 17 kompaun di bawah Bahagian Kesihatan, menutup sebuah premis serta mengeluarkan lima kompaun di bawah Bahagian Kawal Selia,” katanya.

Menurut MPS, Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan turut menyita 18 inventori sepanjang operasi sebagai tindakan terhadap premis yang didapati gagal mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan.

Kedua-dua pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan akan diteruskan secara berkala bagi memastikan semua premis mematuhi syarat lesen, standard kebersihan serta peraturan berkuat kuasa demi melindungi kepentingan masyarakat.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.