SHAH ALAM, 18 OGOS: Seramai 300 pengunjung terawal menikmati makanan percuma menerusi Program Makan Percuma Peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) 2026 di Medan Selera Delima, Seksyen 24 hari ini.
Program bersempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 itu menawarkan baucar bernilai RM10 kepada setiap penerima dengan kerjasama peniaga makanan dan minuman di medan selera berkenaan.
Pengarah Pembangunan Komuniti MBSA Shahrin Ahmad berkata inisiatif berkenaan bertujuan membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan dalam kawasan pentadbiran MBSA termasuk pekerja industri, penjawat awam dan penuntut institusi pengajian tinggi.
Menurutnya, program itu dilaksanakan tiga kali setahun dengan siri pertama berlangsung di Seksyen 28 manakala siri kedua di Medan Selera Delima, Seksyen 24. Siri ketiga dicadangkan diadakan di kawasan utara MBSA pada Oktober sempena ulang tahun MBSA ke-28.

Beliau berkata setiap siri membabitkan anggaran peruntukan RM3,000 dan dibuka kepada 300 penerima terawal dengan kadar RM10 seorang.
“Program ini bukan sahaja membuka ruang kepada penduduk untuk menikmati makanan percuma, tetapi membuka rezeki kepada gerai dalam kawasan MBSA.
"Dalam bulan kemerdekaan ini, kita mahu berkongsi kegembiraan, kemakmuran, kekayaan dan apa yang ada di kawasan MBSA ini bersama komuniti setempat,” katanya.
Sementara itu, Zamzalina Razali, 49, dari Seksyen 24 berkata beliau mengetahui mengenai program berkenaan menerusi kumpulan WhatsApp komuniti setempat.
“Saya selalu makan di sini sebab harga murah. Program ini sangat bermanfaat kerana dapat makanan percuma daripada MBSA dan kalau boleh diteruskan lagi,” katanya.
Pengunjung lain, Siti Aisyah Ismail, 43, yang hadir bersama anak-anak berkata program itu membantunya berjimat selain mengeratkan hubungan antara penganjur dengan masyarakat.

“Hari ini dapat jimat dan tak perlu masak. Anak-anak boleh terus pergi sekolah selepas makan. Seronok bila dapat makan percuma dan memang tak sabar tunggu hari ini bila tahu ada makan percuma.
“Program ini dapat mengeratkan silaturahim antara penganjur dan masyarakat,” katanya.
Mohd Ihsan Razli, 27, pula berkata beliau kebiasaannya membelanjakan RM15 untuk makan tengah hari, namun dapat menjimatkan perbelanjaan menerusi program berkenaan.
“Patut diteruskan supaya semua orang dapat merasai rezeki yang dikongsi,” katanya.









