SHAH ALAM, 18 OGOS: Program Pasar Patuh yang kelolaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor diperluas ke kawasan luar bandar bagi memastikan pematuhan standard dan integriti perniagaan tidak hanya tertumpu di bandar besar.
EXCO Pengguna dan Koperasi, Dato' Rizam Ismail berkata program julung kali itu bertujuan memperkukuh integriti perniagaan menerusi pendekatan penguatkuasaan dan kerjasama antara agensi secara menyeluruh.

“Ini sekali gus menepis persepsi pematuhan standard hanya tertumpu di bandar-bandar besar.
“Pelaksanaan Program Pasar Patuh mencerminkan semangat kerjasama rentas agensi antara kerajaan, industri dan pengguna dalam memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara menyeluruh dan berimpak tinggi,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Menurut Rizam, program itu turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan serta memperkukuh tadbir urus perdagangan menerusi kerjasama pelbagai pihak.
Katanya, kerjasama berkenaan melibatkan KPDN, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan persatuan peniaga tempatan.
Institusi pendidikan seperti Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB) dan Kolej Tingkatan Enam Tunku Abdul Rahman Putra (KISTARP) turut terlibat sebagai rakan strategik.
“Program Pasar Patuh menjadi payung kepada pelbagai inisiatif KPDN untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang teratur, beretika dan melindungi pengguna.
“Pendekatan ini dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem perdagangan serta menggalakkan peniaga mematuhi undang-undang secara berterusan,” katanya.







