Nekad tinggal gaji tetap demi roselle

18 Ogos 2026, 3:34 AM
Nekad tinggal gaji tetap demi roselle
Nekad tinggal gaji tetap demi roselle

Berani meninggalkan pekerjaan tetap demi mengejar impian bukan keputusan yang mampu dibuat oleh semua orang.

Namun, bagi usahawan roselle, Siti Suraya Shariff, keputusan itu dibuat selepas melihat sendiri potensi tanaman berkenaan yang pada awalnya hanya menjana pendapatan sekitar RM3,000 sebulan.

Daripada sekadar mengusahakan tanaman, beliau kini membangunkan perusahaan Sorelicious Legacy yang mencatat nilai pengeluaran sehingga RM400,000 sebulan.

Keputusan meninggalkan kerjaya makan gaji itu bukan semata-mata kerana mengejar keuntungan, sebaliknya didorong keyakinan bahawa perniagaannya hanya mampu berkembang jika diberikan sepenuh perhatian.

“Awal-awal dulu pendapatan saya lebih kurang RM3,000 sahaja sebulan. Kemudian, apabila permintaan semakin meningkat, saya nampak sudah boleh berhenti kerja kerana sebulan boleh dapat dalam RM7,000 hingga RM8,000.

“Jadi, saya nekad berhenti kerja dan fokus sepenuhnya kepada perniagaan ini,” katanya.

Siti Suraya Sharif, 41, (kiri) dan Farkhana Nasron, 38, menunjukkan roselle yang telah matang ketika temu bual Media Selangor bersama pengusaha Sorrellicious Roselle (Penerima Anugerah Usahawan Terbaik Bizup PKNS) di Kampung Johan Setia, Klang pada 16 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor pada Program Promosi dan Jualan Produk Usahawan Bimbingan Jabatan Pertanian 2026 di SACC Mall, Shah Alam.

Keputusan itu menjadi titik tolak kepada perkembangan perniagaannya yang bermula dengan penanaman roselle di Kampung Johan Setia, Klang, sebelum diperluaskan ke Banting.

Bagi memastikan bekalan bahan mentah mencukupi, Sorelicious Legacy turut bekerjasama dengan penanam kontrak, sekali gus membolehkan pengeluaran diselaraskan dengan permintaan pasaran.

Bangkit daripada ujian

Perjalanan membina perusahaan itu bagaimanapun tidak semudah yang disangka.

Siti Suraya Sharif, 41, (kiri) dan Farkhana Nasron, 38, memetik roselle yang telah matang ketika temu bual Media Selangor bersama pengusaha Sorrellicious Roselle (Penerima Anugerah Usahawan Terbaik Bizup PKNS) di Kampung Johan Setia, Klang pada 16 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Ladang yang diusahakan mengalami kerosakan ketika pandemik Covid-19 susulan sekatan pergerakan. Belum sempat pulih sepenuhnya, ladangnya diserang penyakit tanaman sebelum banjir menenggelamkan premis pemprosesan yang sedang dibina. 

Bagi ramai orang,, dugaan yang datang bertimpa-timpa boleh  menjadi alasan untuk mengalah. Namun, bagi Siti Suraya, pengalaman itu mengajarnya bahawa kejayaan dalam bidang pertanian bukan sekadar bergantung pada hasil tuaian.

Sebaliknya, ia menuntut kesabaran, ketahanan mental serta keupayaan untuk bangkit setiap kali berdepan kegagalan.

“Bila kita sudah jatuh dan menceburi bidang perniagaan, kita akan tetap bangun semula walau apa pun rintangan dan dugaan kerana kita sentiasa ingat kenapa kita mulakan semua ini dari awal,” katanya.

Semangat itu kemudiannya diterjemahkan melalui penghasilan pelbagai produk hiliran berasaskan roselle yang mula diperkenalkan pada 2020.

Siti Suraya Sharif, 41, (kanan) dan Farkhana Nasron, 38, menunjukkan produk mereka ketika temu bual Media Selangor bersama pengusaha Sorrellicious Roselle (Penerima Anugerah Usahawan Terbaik Bizup PKNS) di Kampung Johan Setia, Klang pada 16 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sebelum itu, selama beberapa tahun, beliau hanya membekalkan roselle segar kepada kilang, restoran dan pemilik jenama lain.

Kini, Sorelicious Legacy menghasilkan kira-kira 21 produk termasuk kordial, pati, jus, minuman berperisa dan halwa roselle, dengan penggunaan bahan mentah melebihi satu tan sebulan.

Daripada sekadar tanaman, roselle akhirnya menjadi asas kepada rangkaian produk bernilai tambah yang mampu membuka pasaran lebih luas.

Pensijilan halal pula menjadi antara pemangkin penting kepada perkembangan perusahaan apabila membuka peluang untuk menembusi rangkaian pasar raya, selain meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk tempatan.

Pada masa sama, beliau turut mengubah formulasi kebanyakan minuman dengan menggantikan gula putih kepada stevia dan serat inulin, selepas mengambil kira maklum balas pelanggan yang mahukan pilihan lebih sesuai dengan keperluan kesihatan mereka.

Dari benih hingga ke meja

Apa yang membezakan perusahaan Siti Suraya ialah pendekatan ‘from seed to table’, iaitu keseluruhan rantaian pengeluaran dikendalikan daripada peringkat penanaman sehingga produk siap.

Pendekatan itu bukan sahaja membolehkan kualiti dan kuantiti dikawal, malah membantu perusahaan mengurus kos pengeluaran serta memastikan sumber bahan mentah lebih terjamin.

Siti Suraya Sharif, 41, (kiri) dan Farkhana Nasron, 38, memasukkan roselle ke dalam ketuhar untuk proses membuat halua ketika temu bual Media Selangor bersama pengusaha Sorrellicious Roselle (Penerima Anugerah Usahawan Terbaik Bizup PKNS) di Kampung Johan Setia, Klang pada 16 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Daripada tanaman sehinggalah menjadi produk yang dihasilkan sendiri, pelanggan lebih mempercayai kami kerana kami tahu bagaimana tanaman itu diuruskan, bahan yang digunakan dan keseluruhan proses penghasilannya.

“Ini sekali gus mewujudkan kepercayaan dan pelanggan setia,” katanya.

Selain memberi kawalan terhadap sumber bahan mentah, pendekatan berkenaan membolehkan tanaman diurus secara organik tanpa penggunaan racun serangga.

Perancangan pengeluaran juga dapat diselaraskan mengikut permintaan pasaran, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pembekal luar.

Di sebalik kejayaan yang dicapai hari ini, wanita berusia 43 tahun itu mengakui cabaran terbesar kini bukan lagi menghasilkan produk, sebaliknya membahagikan masa antara keluarga, kebun, pengeluaran dan pemasaran jenama sendiri.

Namun, setiap pengorbanan itu dianggap berbaloi.

Bagi Siti Suraya, keputusan meninggalkan pekerjaan tetap bukan sekadar pertukaran kerjaya, sebaliknya satu keberanian untuk keluar daripada zon selesa dan membina sesuatu yang diyakininya mempunyai masa depan.

Daripada sebiji benih roselle, beliau membina sebuah perusahaan yang bukan sahaja menjana pendapatan, malah membuktikan bahawa tanaman yang kecil mampu membawa perubahan besar apabila diusahakan dengan ilmu, ketekunan dan keberanian.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.