SHAH ALAM, 4 OGOS: Ekonomi Selangor disasar berkembang kepada RM612.5 bilion menjelang 2030 selepas Rancangan Selangor Kedua (RS-2) lengkap, kata Dato' Menteri Besar.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata sasaran itu mampu dicapai sekiranya negeri mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi sekitar RM20 hingga RM25 bilion setiap tahun sepanjang tempoh pelaksanaan RS-2 dari 2026 hingga 2030.
Beliau berkata sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor berkembang 6.3 peratus pada 2026 adalah selaras dengan unjuran pertumbuhan ekonomi global yang dikeluarkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menerusi laporan World Economic Outlook edisi Julai 2026.
"IMF mengunjurkan ekonomi global berkembang 3.4 peratus dan Malaysia 4.7 peratus pada tahun sama. Oleh itu, sasaran pertumbuhan KDNK 6.3 peratus berasaskan kepada asas ekonomi negeri kukuh di samping aktiviti ekonomi berterusan.
"Kerajaan Negeri mensasarkan pertumbuhan ekonomi mampan dan berdaya saing dalam tempoh RS-2 iaitu 2026-2030, KDNK Selangor diunjurkan berkembang menjadi RM612.5 bilion pada 2030 selepas kita selesai melengkapkan RS-2.
"Selangor akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang mempunyai nilaian ekonomi RM500 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun kerana kadar pertumbuhan yang diunjurkan bagi setiap tahun sekitar RM20 hingga RM25 bilion dan kalau kadar itu ditetapkan dalam dua tahun dari sekarang, Insya-Allah kita akan ada nilaian ekonomi RM500 bilion," katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Pandamaran Tony Leong Tuck Chee berhubung kadar KDNK 2025, Amirudin memaklumkan Selangor terus menjadi enjin utama pertumbuhan ekonomi negara hasil pelaksanaan beberapa langkah termasuk Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
"Tahun lepas pertumbuhan kita pada kadar 6.3 peratus melebihi sasaran diletakkan 5.8 peratus, ia melebihi kadar pertumbuhan nasional. Ini bukti bahawa kepesatan ekonomi Selangor kekal mendahului negeri-negeri lain.
"Ini membuktikan pencapaian Selangor terus menjadi enjin utama pertumbuhan ekonomi di samping usaha berterusan dalam memperkukuh struktur ekonomi meliputi sektor perkhidmatan, pembuataan berteknologi tinggi, perdagangan, logistik, pelaburan serta ekosistem mikro kecil dan sederhana.
"Kedudukan ini mencerminkan keberkesanan beberapa langkah Kerajaan Negeri seperti RS-1 dan program mesra pelaburan seperti SPEED Selangor dan pengupayaan pihak berkuasa tempatan serta usaha dilaksana semua termasuk anak syarikat yang mampu teruskan rentak Selangor sebagai penyumbang ekonomi terbesar negara," katanya.







