
KAJANG, 17 OGOS: Skuad angkat berat Selangor kekal fokus dengan misi memburu dua pingat emas dalam baki lima kategori acara angkat berat temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Jurulatih Selangor, Naharudin Mahayudin berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan atlet sepanjang dua hari saingan berlangsung.
“Untuk dua hari ini, memang kita tidak sasarkan apa-apa pingat. Kita lebih kepada memberikan pendedahan kepada atlet.
“Pingat perak yang kita dapat semalam pun kita anggap sebagai bonus. Selepas ini kita akan fokus kepada lima acara lagi dan daripada lima acara itu, ada dua yang memang kita sasarkan emas," katanya Media Selangor.
Semalam, Syaza Ilyana Maizan menyumbang pingat perak dalam kategori 53kg wanita selepas mencatatkan jumlah angkatan 138 kilogram.
Kem Selangor bakal meneruskan cabaran dalam acara angkat berat sehingga Khamis ini dengan tumpuan utama meraih pingat emas menerusi kategori 79kg lelaki dan bawah 100kg lelaki.







