SUKMA 2026: Syaza Ilyana raih perak angkat berat 53kg wanita

16 Ogos 2026, 12:29 PM
SUKMA 2026: Syaza Ilyana raih perak angkat berat 53kg wanita

KAJANG, 16 OGOS: Atlet angkat berat Selangor, Syaza Ilyana Maizan menambah bilangan pingat kontinjen negeri selepas berjaya meraih pingat perak dalam kategori 53kg wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, di Stadium MPKJ, hari ini.

Syaza Ilyana mencatatkan jumlah angkatan keseluruhan 138 kilogram (kg) hasil angkatan 63kg bagi disiplin Snatch dan 75kg untuk Clean & Jerk.

Pingat emas acara berkenaan menjadi milik atlet Perak, Qhaerul Izzren Syuhada dengan jumlah angkatan keseluruhan sebanyak 143kg, manakala pingat gangsa diraih atlet Terengganu, Nur Zafeerah Safia Zaini dengan angkatan 136kg.

Walaupun Syaza Ilyana mempamer aksi terbaik dalam acara snatch dengan catatan 63kg sebagai angkatan tertinggi, beliau gagal pada dua percubaan mengangkat 81kg dalam Clean & Jerk dan terpaksa berpuas hati dengan angkatan 75kg.

Qhaerul Izzren pula mendahului selepas acara snatch dengan angkatan tertinggi 64kg dan meneruskan kecemerlangan dalam Clean & Jerk dengan angkatan terbaik 79kg.

Pun begitu, Syaza Ilyana tetap meluahkan rasa syukur atas kejayaan menyumbang pingat dan gembira dapat menebus kehampaan selepas hanya menduduki tempat keempat pada SUKMA 2024 yang lalu.

"Alhamdulillah saya sangat bangga dan gembira dapat tebus maruah saya di SUKMA Sarawak.

"Jika angkatan kedua saya berjaya, mungkin pingat emas menjadi milik saya, namun belum rezeki lagi. Mungkin saya akan cuba pada SUKMA dua tahun lagi," katanya kepada Media Selangor.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.