Terlepas podium, Nur Azmi tekad bangkit pada SUKMA akan datang

19 Ogos 2026, 7:00 AM
Terlepas podium, Nur Azmi tekad bangkit pada SUKMA akan datang
Terlepas podium, Nur Azmi tekad bangkit pada SUKMA akan datang

KAJANG, 19 OGOS: Atlet angkat berat Selangor, Muhammad Nur Azmi Rozaimi tekad bangkit pada edisi akan datang selepas terlepas podium acara 88 kilogram (kg) lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Dewan Seri Cempaka MPKJ di sini, pagi tadi.

Atlet berusia 17 tahun itu menamatkan saingan di tempat kelima dengan jumlah angkatan keseluruhan 256kg pada penampilan sulungnya di temasya berkenaan.

Nur Azmi memulakan saingan dengan cemerlang apabila mencatat angkatan 115kg dalam disiplin snatch untuk menduduki tempat kedua di belakang atlet Terengganu, namun hanya berjaya melakukan satu angkatan bersih dalam acara clean & jerk.

Walaupun gagal membawa pulang pingat, beliau mengakui tetap berbangga kerana berjaya menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik.

"Perlawanan hari ini kira bukan pencapaian terbaik saya kerana sasaran nak dapat pingat, sekurang-kurangnya gangsa. Tapi tak apalah, rasa bangga juga dapat kedudukan kelima terbaik," katanya kepada Media Selangor.

Atlet angkat berat Selangor, Muhammad Nur Azmi Rozaimi beraksi dalam acara 88kg lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Dewan Seri Cempaka MPKJ, Kajang pada 19 Ogos 2026. Foto YUSNI ARIFFIN/MEDIA SELANGOR

Selepas temasya SUKMA berakhir, Nur Azmi berkata beliau akan kembali memberi tumpuan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadual bermula pada Oktober.

"Lepas ini kena sambung fokus balik untuk SPM," katanya.

Pingat emas acara itu dimenangi atlet Terengganu, Ahmad Ridzuan Shah Roslan menerusi angkatan keseluruhan 280kg, diikuti Henry Stephene Gampion dari Sabah yang meraih perak dan Syafiq Afeef Sirhan Sawal Rudin dari Johor yang membawa pulang gangsa.

Sementara itu, jurulatih Selangor, Naharudin Mahayudin tetap memuji persembahan Nur Azmi walaupun anak buahnya gagal menaiki podium.

"Apa yang kita sasarkan, kita dah cuba usaha sebaik mungkin untuk dapatkan pingat tapi nasib tidak menyebelahi. Angkatan Azmi juga alhamdulillah melebihi angkatan terbaiknya semasa latihan.

"Tumpuan selepas ini pada acara bawah 110kg dan esok hari terakhir, jika taktikal dan angkatan menjadi, insyaAllah kita akan dapat meraih pingat emas," katanya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.