SHAH ALAM, 16 OGOS: Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berada pada tahap optimum dengan pelbagai kemudahan bagi memastikan kelancaran saingan e-sukan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 bermula 19 Ogos ini.
MPAJ memaklumkan ia meliputi penyediaan sambungan internet berkelajuan tinggi dan stabil, bekalan elektrik mencukupi, sistem penyaman udara berfungsi dengan baik serta susun atur tempat duduk penonton yang selesa dan laluan keluar masuk teratur.
“Bagi memastikan pertandingan berlangsung lancar, MPAJ menjalinkan penyelarasan bersama agensi teknikal termasuk Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Felda D’Saji, TM Unifi dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Sebelum ini, MPAJ turut menerima kunjungan beberapa pasukan MSN negeri termasuk Sabah, Kedah dan Pulau Pinang bagi meninjau fasiliti venue sebagai persiapan sebelum pertandingan berlangsung,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut MPAJ, pusat konvensyen berkenaan menjadi venue bagi acara e-sukan yang berlangsung dari 19 hingga 24 Ogos, membabitkan enam acara iaitu E-Chess, Mobile Legends Bang Bang, Honor of Kings, E-Football, Street Fighter dan E-Simulator.
“MPAJ turut menzahirkan sokongan kepada kontinjen Selangor bagi acara badminton dan skuasy menerusi sumbangan RM5,000 kepada setiap pasukan,” katanya.
Menurutnya lagi, bersempena penganjuran SUKMA Selangor 2026, penutupan jalan di Lorong Perak, Taman Melawati dilaksanakan bermula 15 hingga 24 Ogos bagi kegunaan sekretariat dan petugas SUKMA.
“Orang awam yang hadir ke venue boleh menggunakan kawasan tempat letak kereta di sekitar Pusat Beli-Belah Melawati serta lot parkir di Jalan Melawati 1.
“Orang ramai turut dijemput hadir bagi memberikan sokongan kepada kontinjen Selangor, khususnya atlet yang beraksi dalam acara e-sukan sepanjang temasya berlangsung,” katanya.







