SUKMA 2026: Atlet e-sukan tumpu ketahanan mental

18 Ogos 2026, 2:00 AM
SUKMA 2026: Atlet e-sukan tumpu ketahanan mental

Atlet e-sukan Selangor memberi tumpuan kepada aspek kemahiran, strategi dan kekuatan mental bagi berdepan saingan menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Bagi atlet e-Simulator Racing Sophia Zahra Mustafa Kamal, 16, pengalaman dalam sukan permotoran sejak kecil menjadi kelebihan untuk menghadapi cabaran baharu arena e-sukan.

Beliau yang terlibat dalam sukan itu sejak tahun lalu menjalani latihan secara konsisten dengan menumpukan pelbagai kombinasi litar dan kereta bagi meningkatkan kemahiran.

“Saya berlatih sekitar tiga jam pada hujung minggu kerana bersekolah. Jika ada masa pada hari biasa, saya akan berlatih menggunakan simulator di rumah selama satu hingga dua jam,” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik itu terdedah dengan dunia permotoran sejak berusia lima tahun sebelum memperoleh lesen perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang ketika berusia 15 tahun.

Menurut Sophia, pengalaman mengendalikan kereta sebenar membantunya memahami aspek teknikal dalam perlumbaan maya tetapi e-Simulator Racing tetap memerlukan fokus mental yang tinggi.

Pernah menduduki tempat ketiga dalam kejohanan Perlumbaan Simulasi e-Sukan Rakan Muda Wanita, beliau berharap mampu meraih emas dalam penampilan sulung acara itu di SUKMA.

Sementara itu, atlet e-catur Kavin Mohan, 15, menjalani latihan taktikal setiap hari, membaca buku catur dan berbincang bersama jurulatih bagi memperbaiki kelemahan permainan.

Atlet e-catur SUKMA Selangor Kavin Mohan. FOTO FIKRI YUSOF

Beliau yang turut menyertai acara catur fizikal dalam SUKMA 2026 bukan nama asing dalam sukan itu apabila pernah mewakili Malaysia menerusi beberapa kejohanan antarabangsa.

“Saya cuba berlatih sekitar tiga jam sehari, belajar daripada kelemahan dan berbincang dengan jurulatih perkara yang boleh diperbaiki, seterusnya berharap menyumbang emas kepada Selangor.

“Format e-catur dan catur fizikal agak berbeza dan itu cabaran yang perlu saya tempuhi,” katanya.

Bagi atlet Mobile Legends Bang Bang (MLBB) wanita Selangor Nur Alia Fadillah Muhammad Fadil, 21, pasukannya menjalani latihan dari jam 8 hingga 10 malam bagi meningkatkan keserasian dan prestasi menjelang kejohanan.

Katanya, cabaran terbesar atlet e-sukan ialah aspek mental kerana pemain perlu berdepan tekanan, teguran jurulatih serta memastikan komunikasi antara rakan sepasukan sentiasa baik.

Acara SUKMA e-sukan. GRAFIK AZWA MALEK

“Kami perlu kuat dari segi mental kerana tekanan memang ada dalam permainan ini. Kami perlu belajar daripada kesilapan dan terus memperbaiki diri.

“Untuk SUKMA Selangor sudah pasti mahu kumpulan saya bawa balik emas untuk Selangor dan saya mengharapkan kejuaraan untuk kumpulan saya jadi akan cuba yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, jurulatih MLBB Selangor Muhammad Faris Badrul Zaman, 21, yakin dengan kemampuan barisan pemain yang dipilih meskipun mereka datang daripada latar belakang berbeza.

Beliau yang juga antara barisan kejurulatihan skuad negara yang memenangi emas Sukan SEA 2025 berusaha membentuk keserasian pasukan, memperkemas strategi dan memastikan persediaan mental.

“Saya percaya dengan kemampuan pemain yang saya pilih. Mereka daripada latar belakang berbeza tetapi selagi semua mempunyai sasaran sama, mereka mampu bermain sebagai satu pasukan,” katanya.

Pada 28 April, Ahli Dewan Negeri Kota Damansara, Izuan Kasim memberitahu pasukan e-sukan Selangor meletak sasaran sekurang-kurangnya 10 pingat emas dalam temasya kali ini.

Beliau sebagai bapa angkat acara tersebut menyuarakan keyakinan tinggi dan menganggap angka berkenaan realistik berdasarkan tahap persediaan rapi dan kekuatan barisan atlet.

Semua atlet individu atau berpasukan e-sukan akan dibahagi kepada dua kumpulan, bergantung kepada cabutan undi. Dua pasukan teratas layak ke peringkat kalah mati.

Fakta e-Sukan. GRAFIK AZWA MALEK

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.