SHAH ALAM, 16 OGOS: Seramai 36 veteran tidak berpencen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting menerima Baucar Jom Shopping Hari Pahlawan Negeri Selangor 2026 bernilai RM200 setiap seorang.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting V Papparaidu berkata inisiatif Kerajaan Negeri itu sebagai penghargaan kepada golongan veteran atas jasa, khidmat dan pengorbanan mereka dalam menjaga keamanan serta kesejahteraan negara.
Menurutnya, baucar berkenaan boleh ditebus dan digunakan untuk membeli barangan keperluan di Econsave Banting sepanjang tempoh 1 hingga 31 Ogos ini.
“Semoga bantuan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban perbelanjaan harian para penerima, khususnya dalam menghadapi cabaran kos sara hidup.
“Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan kepada negara. Jasa kalian tetap dikenang, pengorbanan kalian sentiasa dihargai,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Papparaidu berkata penyampaian baucar berkenaan dilaksanakan bersempena Hari Pahlawan sebagai tanda penghargaan kepada veteran yang telah berbakti kepada negara.
Program Jom Shopping merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu kumpulan sasar menerusi pemberian bantuan untuk pembelian barangan keperluan harian.







