30 pelajar cemerlang SPM DUN Banting terima penghargaan

17 Mei 2026, 9:00 AM
30 pelajar cemerlang SPM DUN Banting terima penghargaan

SHAH ALAM, 17 MEI: Seramai 30 pelajar dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting diraikan atas pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 pada Majlis Anugerah Cemerlang SPM di Dewan Sri Jugra, semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting, Papparaidu Veraman berkata, daripada jumlah itu, empat pelajar memperoleh keputusan 11A, diikuti 10 pelajar mendapat 10A, 12 pelajar meraih 9A dan empat lagi memperoleh 8A.

Menurut beliau, kejayaan itu membuktikan usaha gigih pelajar selain hasil sokongan ibu bapa serta komitmen guru yang sentiasa membimbing mereka mencapai kecemerlangan.

“Tahniah dan syabas kepada semua pelajar yang telah membuktikan kejayaan membanggakan dalam peperiksaan SPM 2025.

“Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus mengejar kecemerlangan dalam bidang akademik dan sahsiah diri,” katanya dalam kenyataan.

Dalam majlis sama, seramai 48 pelajar turut menerima sumbangan penghargaan atas pencapaian serta penglibatan aktif mereka dalam bidang kokurikulum dan kurikulum di peringkat sekolah dan pertandingan yang disertai.

Selain itu, Papparaidu turut merasmikan Program Selangor Saring DUN Banting yang berlangsung semalam bagi memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan saringan kesihatan percuma.

Menurut beliau, inisiatif itu merupakan langkah awal untuk mencegah penyakit selain meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan rakyat.

“Kerajaan Negeri akan terus komited memperkukuh agenda pendidikan, pembangunan belia dan penjagaan kesihatan rakyat demi masa depan yang lebih baik dan sejahtera,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.