Lepasan SPM digalak pilih TVET, peluang kerjaya lebih luas

2 Apr 2026, 10:03 AM
Lepasan SPM digalak pilih TVET, peluang kerjaya lebih luas

SHAH ALAM, 2 APRIL: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) digesa meneroka laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai alternatif membina masa depan, selain memperluas peluang kerjaya berasaskan kemahiran.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting, V Papparaidu berkata pendekatan itu penting terutama bagi pelajar yang kurang cemerlang dalam peperiksaan agar tidak tercicir daripada arus pendidikan.

“Kepada yang kurang berjaya, jangan berputus asa. Peluang anda masih terbuka luas. Kejayaan tidak hanya diukur melalui keputusan peperiksaan tetapi melalui usaha, ketekunan dan keberanian untuk terus bangkit.

“Laluan ini juga mampu menjamin masa depan yang baik serta melahirkan tenaga mahir yang amat diperlukan negara,” katanya dalam kenyataan.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan pencapaian SPM 2025 di Kuala Langat menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan kadar kelulusan 88.29 peratus daripada 4,056 calon yang menduduki peperiksaan.

“Daripada 4,124 calon berdaftar, seramai 4,056 calon telah hadir menduduki peperiksaan dengan kadar kelulusan 88.29 peratus, manakala Gred Purata Sekolah (GPS) direkodkan pada 4.92, iaitu pada tahap memuaskan.

“Namun, 35.48 peratus calon berada pada tahap lulus minimum manakala 10.08 peratus belum mencapai tahap memuaskan, sekali gus memerlukan perhatian serta intervensi berterusan,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting, V Papparaidu. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Beliau berkata, seramai 100 pelajar berjaya memperoleh keputusan cemerlang, sekali gus mencerminkan potensi besar dalam kalangan pelajar di daerah itu.

Pada masa sama, Papparaidu memaklumkan pelajar cemerlang turut menerima pengiktirafan melalui Program Pengiktirafan Pelajar Cemerlang SPM di Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting.

“Melalui inisiatif ini, setiap pelajar akan menerima sumbangan one-off wang tunai sebanyak RM500 sebagai tanda penghargaan atas usaha dan dedikasi mereka.

“Sumbangan ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi simbol galakan untuk mereka terus melangkah lebih jauh dalam pendidikan dan kehidupan,” katanya.

Menurutnya, program tersebut dilaksanakan secara konsisten setiap tahun bagi membudayakan kecemerlangan serta memperkasakan pendidikan dalam masyarakat.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap pencapaian murid Orang Asli dari Kuala Langat yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.

“Pencapaian ini amat membanggakan kerana ia mencerminkan kejayaan dalam merapatkan jurang pendidikan antara komuniti.

“Ia juga membuktikan bahawa dengan peluang dan sokongan yang adil, semua lapisan masyarakat mampu mencapai kecemerlangan,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmennya memastikan kebajikan dan pendidikan anak-anak di kawasan itu terus diberi perhatian.

“Saya komited memastikan tiada anak di DUN Banting tercicir dan setiap kejayaan akan terus diraikan bersama,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.