SHAH ALAM, 16 OGOS: Tatkala sebahagian besar kancah politik tanah air masih terikat dengan identiti kaum tertentu, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) terus mara mendepani cabaran demi mengangkat wadah politik inklusif berbilang bangsa.
Naib Presidennya, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keberanian KEADILAN bukan sekadar untuk mencipta arus baharu dalam politik, sebaliknya lahir daripada semangat membawa perubahan kepada Malaysia.
“Parti KEADILAN penuh dengan keberanian, bukan sekadar untuk mencipta arus baharu dalam politik tetapi lahir daripada semangat dan keyakinan untuk membawa perubahan yang lebih besar kepada Malaysia.
“Perjuangan Reformasi mengarusperdanakan beberapa perkara yang dahulunya dianggap janggal seperti reformasi, demokrasi, hak asasi, pengagihan ekonomi yang adil dan kerajaan berintegriti,” katanya pada ucapan penggulungan Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Katanya, penubuhan KEADILAN hasil cetusan gerakan reformasi pada 1998 telah meletakkan politik berbilang kaum sebagai asas perjuangan parti.
“Pada 1998, di sebalik penyiksaan yang dilalui Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya, KEADILAN ditubuhkan sebagai parti berbilang bangsa dan kita dengan tegas serta yakin meletakkan politik berbilang bangsa sebagai asas baharu parti.
“Percubaan menubuhkan parti berbilang bangsa seperti Parti Negara dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia sebelum ini belum berjaya menjadikan pendekatan politik berbilang kaum sebagai arus perdana dalam landskap politik negara,” ujar beliau.
Amirudin berkata sikap tegas dan keberanian menongkah arus demi memperjuangkan kebenaran menjadikan KEADILAN antara parti berbilang bangsa yang berjaya bertahan dan berkembang.
Katanya, pendekatan berkenaan perlu terus diperkukuh dengan memberi penekanan kepada kebertanggungjawaban kerajaan, pengagihan ekonomi yang adil, pembelaan golongan miskin dan ketelusan dalam pentadbiran.
Amirudin menambah, perjuangan itu penting bagi memastikan politik berbilang bangsa bukan sekadar identiti parti, sebaliknya menjadi asas kepada pembinaan negara yang lebih adil dan inklusif.







