SHAH ALAM, 16 OGOS: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) kini berada di keluk terakhir dengan keputusan dua pilihan raya negeri baru-baru ini menjadi panduan kepada parti untuk bergerak ke depan, kata Dato' Seri Amirudin Shari.
Dato’ Menteri Besar juga Naib Presiden Keadilan bagaimana pun mengingatkan cabaran dan ancaman sentimen perkauman yang diapi-apikan oleh parti lawan.
Beliau menggesa Keadilan untuk tidak mudah terpancing sebaliknya menunjukkan pendekatan seimbang terhadap semua kaum.
“Undi masyarakat Tionghua ada sedikit penurunan, tetapi kita masih lagi mendapat kepercayaan majoriti dengan 77 peratus masyarakat Tionghua memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) dan KEADILAN.
“Kita harus akui ada penurunan dalam kalangan masyarakat India. Sebelum ini, kita mendapat lebih 70 peratus, sekarang mungkin kurang daripada 45 peratus. Undi Melayu pula, dulu pada 2022 kita dapat sekitar 11 peratus dan kali ini berkurangan kepada 7.4 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Amirudin menegaskan bahawa momentum sokongan pengundi Melayu di Negeri Sembilan terus melonjak daripada 18 peratus pada 2022 kepada 21 peratus pada 2026 sebagai bukti kepercayaan rakyat yang semakin kukuh terhadap HARAPAN.
Katanya, perjuangan reformasi kini memasuki fasa penting bagi memastikan politik negara berteraskan keadilan kepada semua kaum dengan tetap menghormati Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Amirudin, kedudukan Melayu dan Islam sebagai asas serta agama rasmi negara yang dihormati, namun keadilan pada masa sama perlu diberikan kepada semua rakyat termasuk masyarakat Cina, India, Kristian, Buddha dan Hindu.
Tambahnya, KEADILAN juga perlu mengambil pendekatan seimbang dalam menangani isu berkaitan bantuan kepada sekolah dan institusi pelbagai kaum supaya tidak mudah diperalatkan pihak tertentu.







