
SERDANG, 16 OGOS: Kontinjen Selangor membuka akaun pingat dalam saingan olahraga apabila Syafiqah Mohd Azrul Ikram menyumbangkan pingat perak menerusi acara lompat bergalah wanita di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, hari ini.
Syafiqah melakukan lompatan setinggi 3.40 meter untuk menamatkan saingan di tempat kedua, ketinggalan hanya 0.05 meter di belakang atlet Sabah, Samantha Mae Godfrey Binting yang meraih emas dengan catatan 3.45 meter.
Pingat gangsa pula menjadi milik atlet Pahang, Noor Shahreena Jamizan.
Walaupun gagal meraih emas, Syafiqah tetap berpuas hati dengan pencapaiannya selepas berjaya memperbaharui rekod peribadi 3.20 meter yang dicatat sebelum ini.
“Saya gembira dengan persembahan saya hari ini, lebih-lebih lagi apabila dapat memecahkan rekod peribadi saya.
“Pingat ini saya dedikasikan buat negeri Selangor,” katanya kepada Media Selangor.
Kejayaan Syafiqah menyuntik semangat kepada Kontinjen Selangor yang masih mempunyai enam atlet untuk turun beraksi dalam acara akhir masing-masing pada sebelah petang.
Pingat perak itu turut menjadi pembakar semangat buat barisan atlet olahraga Selangor untuk meneruskan cabaran dalam usaha menambah koleksi pingat negeri pada SUKMA 2026.








