
SERDANG, 16 OGOS: Kem olahraga Selangor membuka tirai saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan satu pingat emas dan dua perak pada hari pertama pertandingan di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, hari ini.
Pingat emas hadir menerusi acara lempar cakera wanita apabila Sasha Alyssa Philip melakukan balingan sejauh 44.93 meter, sekali gus mencatat rekod peribadi terbaik untuk muncul juara.
Dua pingat perak pula disumbangkan menerusi acara lompat bergalah wanita dan 100 meter wanita masing-masing oleh Syafiqah Mohd Azrul Ikram serta Lim Mei Yin.
Syafiqah melakukan lompatan setinggi 3.40 meter, manakala Mei Yin mencatat masa 11.96 saat dalam aksi final 100 meter wanita untuk memperbaharui rekod peribadi masing-masing.
Sebanyak 18 atlet Selangor mengambil bahagian dalam sembilan acara akhir pada hari pertama, namun kem olahraga negeri sedikit terkilan apabila tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri untuk mengutip lebih banyak pingat.
Daripada 10 acara akhir yang dipertandingkan hari ini, Terengganu, Kelantan dan Sabah masing-masing mengungguli dua acara untuk meraih dua pingat emas.
Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan pula masing-masing meraih satu emas.
Sebanyak sembilan lagi acara akhir dijadualkan berlangsung Isnin dengan tumpuan para penyokong terarah kepada saingan 4x100 meter lelaki dan wanita dalam usaha para atlet menambah koleksi pingat negeri.
Kejayaan Sasha menghadiahkan emas pertama olahraga Selangor, selain dua perak yang diraih Syafiqah dan Mei Yin, menjadi pembakar semangat buat atlet lain untuk meneruskan cabaran pada hari berikutnya.







