
SEPANG, 16 OGOS: Selangor gagal meraih sebarang pingat dalam acara berbasikal 20 kilometer individu ujian masa wanita pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22, hari ini.
Dua pelumba Selangor, Mas Mia Tueta Dania Mazlan dan Ell Reayanna Farhanie Mohd Farid, memberikan aksi terbaik dalam perlumbaan berkenaan, namun rezeki untuk menempatkan diri di podium belum menyebelahi mereka.
Ell Reayanna menduduki tempat keenam, manakala Mas Mia Tueta berada di kedudukan kesembilan.
Acara yang berlangsung di Bagan Lalang itu menyaksikan pingat emas menjadi milik pelumba Terengganu, Dahlia Hazwani Hashim, yang mencatat masa 31 minit 7 saat untuk muncul juara.
Pelumba Johor, Intan Suraya Tokiman, meraih pingat perak, manakala rakan senegeri, Nurina Qistina Zahraa Dewa Indra, membawa pulang gangsa.
Meskipun gagal menyumbang pingat, kedua-dua pelumba Selangor tetap memberikan saingan terbaik dan berjuang sehingga ke garisan penamat.








