Acara olahraga buka tirai di Stadium UPM, 18 atlet Selangor buru pingat

16 Ogos 2026, 1:00 AM
Acara olahraga buka tirai di Stadium UPM, 18 atlet Selangor buru pingat

SERDANG, 16 OGOS: Seramai 18 atlet Kontinjen Selangor bakal memulakan cabaran dalam sukan olahraga pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang membuka tirai saingan di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, hari ini.

Daripada jumlah berkenaan, lapan atlet akan turun beraksi di peringkat akhir membabitkan enam acara iaitu 10,000 meter jalan kaki, lompat bergalah, lompat jauh, lempar cakera dan 10,000 meter.

Sementara itu, 10 lagi atlet Selangor akan memulakan saingan dari peringkat separuh akhir dalam beberapa acara yang turut menjadi tumpuan.

Antara acara berprofil tinggi ialah 100 meter lelaki dan wanita yang dianggap sebagai acara ‘riben biru’ olahraga, selain 110 meter berpagar lelaki serta 100 meter berpagar wanita.

Kesemua acara berkenaan dijangka berlangsung sengit dengan atlet Selangor berusaha memberikan aksi terbaik bagi memburu tempat ke final serta menyumbang pingat kepada kontinjen negeri.

Stadium UPM menjadi gelanggang utama bagi saingan olahraga SUKMA 2026 yang menghimpunkan atlet terbaik dari seluruh negara dalam usaha memburu kejayaan dan mengharumkan nama negeri masing-masing.

Pembukaan saingan olahraga hari ini turut menjadi antara tumpuan Kontinjen Selangor dalam misi menambah koleksi pingat serta membantu merealisasikan sasaran juara keseluruhan pada temasya kali ini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.