
SHAH ALAM, 24 OGOS: Kem olahraga Selangor berdepan penurunan prestasi ketara pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 berbanding pencapaian pada edisi 2024 di Sarawak.
Pada edisi lalu, Selangor menamatkan saingan olahraga dengan kutipan lapan pingat emas, lima perak dan empat gangsa sekali gus muncul kontinjen kedua terbaik di belakang Johor.
Namun, beraksi di laman sendiri pada SUKMA 2026, skuad olahraga Selangor hanya mampu meraih satu emas, tujuh perak dan lima gangsa untuk berada di tangga ke-10 daripada 14 kontinjen yang bertanding.
Pencapaian berkenaan pastinya menimbulkan persoalan mengenai prestasi keseluruhan kem olahraga Selangor yang sebelum ini antara kuasa utama dalam saingan SUKMA.
Sehubungan itu, bedah siasat menyeluruh wajar dilakukan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) bagi mengenal pasti punca kemerosotan prestasi serta aspek yang perlu diperbaiki menjelang temasya akan datang.
Bagaimanapun, di sebalik pencapaian kurang memberangsangkan itu, beberapa atlet muda menunjukkan potensi untuk kembali mengangkat nama Selangor dalam arena olahraga.
Antaranya, pelari berusia 17 tahun, Lim Mei Yin yang mencuri perhatian apabila meraih dua pingat perak menerusi acara 100 meter dan 200 meter pada penampilan sulungnya di SUKMA.
Lebih positif, Mei Yin mampu memberikan saingan sengit kepada atlet kebangsaan, Izzatul Musfirah dalam kedua-dua acara berkenaan, sekali gus menjadi petanda baik terhadap perkembangan bakat muda negeri.
Selain itu, pelari lelaki seperti Daniel Haqiem dan Danish Irfan yang lahir daripada program pembangunan atlet remaja Selangor turut mempamerkan prestasi yang memberangsangkan sepanjang temasya.
Dalam acara padang pula, Selangor masih mempunyai sandaran menerusi Sasha Alyssa Philip yang menghadiahkan satu-satunya pingat emas olahraga negeri menerusi acara lempar cakera.
Syafiqah Mohd Azrul Ikram pula menyumbang pingat perak dalam acara lompat bergalah, sekali gus menunjukkan potensi atlet muda dalam disiplin berkenaan.
Secara keseluruhan, pencapaian skuad olahraga Selangor pada SUKMA 2026 sememangnya mengecewakan, khususnya apabila negeri ini tampil sebagai tuan rumah.
Namun, kemunculan beberapa bakat muda yang berpotensi memberikan sinar baharu kepada Selangor untuk kembali menjadi antara kuasa utama olahraga negara pada temasya akan datang.








