
SERDANG, 19 OGOS: Prosedur operasi standard (SOP) pasukan perubatan di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) sudah ditambah baik bagi memastikan kesiapsiagaan lebih tinggi dalam menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan sepanjang saingan acara olahraga SUKMA Selangor 2026.
Langkah itu diambil susulan insiden beberapa atlet mengalami strok haba ketika bertanding dalam keadaan cuaca panas pada hari kedua saingan olahraga.
Insiden melibatkan atlet acara 3,000 meter lari berhalangan wanita dan lelaki sebelum ini turut mendapat perhatian selepas beberapa atlet terpaksa menerima rawatan di khemah perubatan.
Sebelum ini, turut tular di media sosial keadaan pelari Selangor, Nur Fatihah Mohamad Adham yang mengalami keletihan akibat strok haba ketika berbaki kira-kira 30 meter untuk menamatkan perlumbaan, selain dakwaan pasukan perubatan kurang bersedia menghadapi situasi berkenaan.
Bagaimanapun, tinjauan Media Selangor pada hari ketiga dan keempat saingan mendapati pasukan perubatan di Stadium UPM sudah meningkatkan tahap kesiapsiagaan dengan menyediakan dua pos kawalan bagi menghadapi sebarang situasi luar jangka.
Jumlah kelengkapan perubatan turut ditambah bagi membolehkan petugas memberikan tindakan lebih pantas sekiranya berlaku kecemasan membabitkan atlet atau penonton.

Wakil pasukan perubatan yang ditemui berkata, insiden sebelum ini menjadi pengalaman penting untuk mereka memperkemaskan lagi persediaan sepanjang kejohanan berlangsung.
Menurutnya, pasukan kini lebih bersedia dan akan memastikan perkara sama tidak berulang, selain terus memberikan keutamaan kepada keselamatan semua pihak di kawasan stadium.
Aspek keselamatan atlet dan orang awam menjadi keutamaan pasukan perubatan, terutama dengan keadaan cuaca yang tidak menentu serta risiko kecederaan yang boleh berlaku ketika saingan acara olahraga yang berisiko tinggi.
Langkah penambahbaikan itu diharap dapat memastikan pengurusan kecemasan di Stadium UPM berjalan lebih lancar dan pantas sepanjang baki saingan olahraga SUKMA 2026.
Acara olahraga SUKMA 2026 mempertandingkan 47 acara pingat yang berlangsung sehingga 20 Ogos ini.








