
SERDANG, 20 OGOS: Selangor menzahirkan penghargaan kepada seluruh atlet, jurulatih dan sukarelawan yang bekerja keras sepanjang saingan olahraga Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang menutup tirai hari ini.
EXCO Sumber Manusia yang juga bapa angkat sukan olahraga Selangor SUKMA 2026 berkata pencapaian 13 pingat termasuk satu emas, tujuh perak dan lima gangsa sebagai hasil usaha dan komitmen semua pihak dalam mengharungi saingan yang mencabar.
V Papparaidu berkata kejayaan dalam sukan bukan semata-mata diukur melalui pingat, sebaliknya pengalaman, semangat juang dan usaha atlet untuk memberikan yang terbaik perlu turut dihargai.
“Pertama sekali saya ucapkan tahniah kepada semua atlet yang berjaya mendapatkan pingat untuk Selangor dan jangan lupa jurulatih yang sangat penting sebagai guru.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua sukarelawan yang telah bekerja keras sehingga kita berjaya menghabiskan acara olahraga hari ini,” katanya ditemui di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.
Papparaidu meluangkan masa kira-kira sejam bagi melihat pelbagai acara akhir olahraga termasuk lompat kijang lelaki dan 4X100 pasukan lelaki.
Beliau turut menasihatkan atlet Selangor yang tidak berjaya meraih pingat pada SUKMA 2026 supaya tidak berputus asa dan terus berusaha untuk bangkit pada kejohanan akan datang.

Katanya, kekalahan dalam sukan bukan bermakna kekalahan selama-lamanya, sebaliknya setiap pertandingan memberi ruang kepada atlet untuk memperbaiki prestasi.
“Sukan adalah satu pertandingan, kalah, maksudnya bukan kalah selama-lamanya. Mungkin hari ini kita kalah, esok boleh menang, mungkin hari ini kita menang, esok boleh kalah.
“Jadi jangan bimbang, jangan putus asa. Berusaha dengan maksimum input, dapatkan nasihat daripada jurulatih, supaya pada masa akan datang kita boleh balik emas pula,” katanya.
Acara olahraga SUKMA 2026 yang mempertandingkan 47 acara menutup tirai hari ini, selepas saingan berlangsung selama lima hari bermula 16 Ogos lalu.
Seramai 53 atlet olahraga Selangor terlibat dalam temasya kali ini dengan kem olahraga Selangor meraih 13 pingat termasuk satu emas menerusi acara lempar cakera wanita, tujuh perak dan lima gangsa sepanjang saingan berlangsung.
Stadium UPM menjadi gelanggang utama bagi saingan olahraga SUKMA 2026 yang menghimpunkan atlet terbaik dari seluruh negara dalam usaha memburu kejayaan dan mengharumkan nama negeri masing-masing.
Hari kedua acara olahraga Stadium UPM menyaksikan lebih enam atlet termasuk pelari Selangor, Siti Nur Fatihah Mohamad Adham dilaporkan mengalami dehidrasi dan strok haba ketika bertanding dalam cuaca panas.
Keadaan itu berlaku ketika acara 3,000 meter lari berhalangan lelaki dan wanita yang dijadualkan berlangsung pada jam 4 petang, dengan suhu dilaporkan melebihi 33 darjah Celsius.








