SHAH ALAM, 30 OGOS: Kekurangan pengetahuan dalam pemasaran digital antara cabaran yang dihadapi usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan dan menembusi pasaran lebih luas.
Justeru, inisiatif Platform Selangor (PLATS) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri menjadi antara medium membantu usahawan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran pemasaran moden secara lebih praktikal.
Pemilik Bakeri Kak Ain, Nur'Ain Chow Sook Mung Abdullah antara usahawan yang memanfaatkan inisiatif itu bagi memperkukuh strategi pemasaran perniagaannya.
“PLATS banyak membantu saya dari segi memberi pengetahuan mengenai pemasaran digital dan cara mempraktikkannya di dalam perniagaan.
“Inisiatif ini secara efektifnya membantu menaikkan lagi jualan dalam perniagaan saya,” katanya kepada Media Selangor ketika ditemui pada majlis Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) baru-baru ini.
Usahanya turut mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Usahawan Cemerlang U-PLATS Digital dengan membawa pulang trofi dan cek cura bernilai RM1,000.
Sementara itu, pengasas jenama Minah Satay, Norminah Syafrial berkata membina jenama dan memperkenalkan produk kepada khalayak menjadi antara cabaran terbesar dalam perniagaan.
“Bagi saya, cabaran utamanya ialah dari segi penjenamaan dan pemasaran, yang mana nak perkenalkan jenama kita kepada orang ramai, itu yang paling susah sekali,” katanya.
Menurut Norminah, bimbingan dan pendedahan menerusi PLATS membantunya memperkukuh perniagaan serta merancang sasaran lebih besar selepas menerima pengiktirafan.
“Menerusi inisiatif keusahawanan ini, saya berharap mampu melangkah lebih jauh dan meletakkan sasaran baharu selepas menerima anugerah ini.
“Harapan saya adalah untuk membantu lebih ramai ejen di bawah Minah Satay, dan mampu meningkatkan lagi jualan saya dan juga jualan ejen-ejen lain,” katanya.
Norminah menerima Anugerah Khas MAPS dengan membawa pulang trofi dan wang tunai RM18,000.
Beliau turut menerima Anugerah Usahawan Mikro Inovasi menerusi produk Sate DIY Kit yang dibangunkan hasil penyelidikan dan pembangunan selama hampir tiga tahun bagi memenuhi keperluan pasaran serta memperluas potensi perniagaan menerusi platform digital.







