SHAH ALAM, 16 JAN: Seramai 26 peniaga dari kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menyertai Program Keusahawanan Platform Selangor (PLATS) peringkat Daerah Kuala Langat, baru-baru ini.
Berlangsung di Dewan Seri Jugra, Telok Datok, program sempena Jelajah Usahawan PLATS (U-PLATS) Digital itu mendedahkan peserta dengan Modul 1: Pemasaran Permulaan Perniagaan bagi meningkatkan kemahiran mereka dalam pemasaran melalui media sosial.
"Modul ini memberi penekanan terhadap penggunaan platform digital seperti TikTok, Instagram dan Facebook sebagai medium memasarkan produk secara lebih meluas dan berkesan.
"Peserta juga diperkenalkan kepada aspek asas keusahawanan, e-dagang, dan penciptaan kandungan digital untuk mengembangkan idea perniagaan mereka," maklum MPKL dalam hantaran di Facebook.

Program yang dikendalikan oleh Pelatih Korporat Goldmind Evolution Sdn Bhd turut dihadiri Pengarah Jabatan Pelesenan MPKL Nordila Yasir serta Pengurus Projek PLATS Siti Nur Hazwani Md Sabudin.
"MPKL komited untuk terus menyokong agenda Kerajaan Negeri dalam memodenkan sektor keusahawanan serta merancakkan pembangunan ekonomi tempatan," maklumnya.
PLATS adalah ekosistem menyeluruh yang memberi ruang kepada usahawan tempatan untuk berkembang melalui akses kepada latihan, pembiayaan dan jaringan pasaran.

Sepanjang tahun lalu, usahawan PLATS merekodkan nilai transaksi jualan mencecah kira-kira RM15 juta dengan hasil penglibatan aktif menerusi pelbagai medium pemasaran dan saluran digital.
Setakat ini, hampir 100,000 usahawan berdaftar dengan PLATS, platform yang menyediakan bimbingan menyeluruh termasuk pemasaran digital, pemadanan pasaran dan pembangunan jenama tempatan.
Sebelum ini, EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi menyeru usahawan termasuk pemain industri kreatif mengambil peluang menyertai program PLATS bagi memperluas pasaran dan memperoleh pengetahuan baharu melalui perkongsian pengalaman.





