U-PLATS Halal jadi titik kebangkitan, buka peluang perniagaan baharu

31 Ogos 2026, 3:00 AM
U-PLATS Halal jadi titik kebangkitan, buka peluang perniagaan baharu
U-PLATS Halal jadi titik kebangkitan, buka peluang perniagaan baharu
U-PLATS Halal jadi titik kebangkitan, buka peluang perniagaan baharu

SHAH ALAM, 31 OGOS: Inisiatif U-PLATS Halal menjadi pemangkin kepada usahawan tempatan dalam mendapatkan pengiktirafan halal, sekali gus membuka peluang untuk meneroka pasaran lebih luas.

Usahawan tempatan, Norhaidah Ahmad, 48, yang mewakili Million Rich Empire menerusi jenama WanCu Food berkata inisiatif berkenaan banyak membantu dan mengubah operasi syarikatnya, selain memberi nafas baharu kepada perniagaan.

“Kami sebelum ini belum memperoleh pengiktirafan halal lagi, namun sejak menyertai program U-PLATS Halal ini, ia membantu membuka lebih banyak peluang perniagaan baharu.

"Ia juga sedikit sebanyak menjadi titik kebangkitan syarikat dalam dunia perniagaan,” katanya ketika ditemui pada Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) baru-baru ini.

Menurut Norhaidah, pengetahuan mengenai proses halal yang diperoleh menerusi program berkenaan juga akan dikongsikan bersama rakan peniaga bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan pada masa akan datang.

Pada majlis berkenaan, Norhaidah menerima Anugerah Usahawan Cemerlang U-PLATS Halal dan membawa pulang trofi serta cek bernilai RM5,000.

Sementara itu, cuti bersalin tidak mematahkan semangat pemilik Raramelts, Siti Hajar Saleh, 38, untuk kembali bangkit mengembangkan perniagaan biskut dan kek selepas terpaksa berehat seketika.

“Cabaran terbesar yang saya hadapi sebelum ini adalah tidak dapat meneruskan perniagaan biskut dan kek saya kerana perlu cuti bersalin.

“Bagaimanapun perkara itu tidak mematahkan semangat saya untuk kembali menstrukturkan semula empayar perniagaan saya,” katanya.

Siti Hajar berkata beliau bertekad untuk terus memperkukuh dan mengembangkan perniagaannya pada masa akan datang.

“Dengan menyertai Program PLATS, ia sedikit sebanyak membantu menambah baik perniagaan saya dari pelbagai sudut, selain dapat menambah pengalaman melalui perkongsian dalam kalangan rakan peniaga yang lain,” tambahnya.

Siti Hajar turut menerima Anugerah Khas MAPS 2026 dan membawa pulang trofi serta cek bernilai RM18,000.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.