Pemandu lori tangki direman empat hari nahas ragut nyawa dua beranak

15 Ogos 2026, 7:10 AM
Pemandu lori tangki direman empat hari nahas ragut nyawa dua beranak

SHAH ALAM, 15 OGOS: Pemandu lori tangki yang terbabit kemalangan meragut nyawa dua beranak di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang dekat Kampung Lebak, semalam, direman empat hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata lelaki berusia 37 tahun itu direman mulai hari ini hingga Selasa depan.

Menurutnya, pemandu terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.

“Hasil ujian saringan air kencing dijalankan terhadap lelaki terbabit disahkan negatif dadah,” katanya menerusi kenyataan, lapor Harian Metro.

Dalam kejadian jam 4 petang semalam, seorang wanita dan anak lelakinya rentung selepas kereta dinaiki mereka dihempap lori tangki membawa muatan 32,000 liter diesel dan petrol.

Kemalangan menyebabkan lori tangki dan kereta terbabit terbakar manakala pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan.

Siasatan awal polis mendapati lori tangki dalam perjalanan dari Seremban ke Temerloh terbabas dan terbalik sebelum menghempap kereta dinaiki dua beranak yang dalam perjalanan dari Jerantut ke Seremban, Negeri Sembilan.

Mohd Nasyim berkata proses bedah siasat terhadap dua mayat berkenaan dilakukan di Hospital Sultan Ahmad Shah hari ini.

Menurutnya, proses pengebumian mungkin belum dapat dilakukan sehingga keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap kedua-dua mangsa diperoleh, namun waris sudah tampil membuat pengesahan identiti.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.