SHAH ALAM, 19 JAN: Pemandu van warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jitra hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian seorang wanita dalam kejadian di Napoh, minggu lalu.
Tiada pengakuan direkodkan selepas tertuduh, Yusof Senkonam, 60, tidak memahami sepenuhnya pertuduhan dalam bahasa Melayu yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Nor Syaliati Mohd Sobri.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memandu van jenis Toyota Hiace secara melulu sehingga menyebabkan kematian Fatin Nursyafikah Haris Bawijad, 22, yang menunggang motosikal jenis Modenas.
Insiden itu berlaku pada jam 10.30 malam, 15 Januari lalu di persimpangan lampu isyarat Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Napoh, Jalan Alor Setar–Bukit Kayu Hitam.
Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Asyiqin Hedzir mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 8 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes, selain mendapatkan jurubahasa dalam bahasa Thai.
Sebelum ini, media melaporkan kejadian tersebut melibatkan van yang melanggar lampu isyarat merah dan merempuh mangsa di Pekan Napoh sekitar jam 10.15 malam.
Mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kampung Bukit Beruas, Mukim Binjal disahkan maut akibat kecederaan parah di lokasi kejadian.
Difahamkan, pemandu van terbabit dalam perjalanan dari Pantai Remis, Perak menuju ke Satun, Thailand.


