SHAH ALAM, 24 OGOS: Pemandu lori tangki berdepan detik cemas apabila tersepit selepas kenderaan dipandunya terbabas dan terbalik di selekoh Batu 7, Tanjong Karang pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.58 tengah malam tadi.
Susulan panggilan itu, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang digerakkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 1.05 pagi sebelum menjalankan operasi menyelamat mangsa.
“Komander Operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah lori tangki membawa minyak hitam terbabas dan terbalik.
“Terdapat seorang mangsa lelaki berumur 30-an tersepit,” katanya.
Ashrul Riezal berkata mangsa berjaya dikeluarkan pasukan bomba pada jam 2.51 pagi dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.







