Nahas Temerloh: Dua mangsa rentung dipercayai ibu, anak

14 Ogos 2026, 4:04 PM
Nahas Temerloh: Dua mangsa rentung dipercayai ibu, anak

KUANTAN, 14 OGOS: Dua mangsa yang maut selepas kereta yang mereka naiki dihempap sebuah lori tangki membawa muatan bahan api sebelum terbakar di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang, petang tadi dipercayai ibu dan anak.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata pemandu dan penumpang kereta jenis Perodua Bezza itu dipercayai seorang wanita berusia 39 tahun dan anak lelakinya, berumur 12 tahun, yang disahkan maut di tempat kejadian.

"Pengesahan identiti kedua-dua mangsa akan dijalankan melalui perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) waris," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata siasatan awal mendapati lori tangki yang membawa 32,000 liter diesel dari Seremban menghala ke Temerloh itu dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Berdasarkan keterangan waris si mati, kereta berkenaan dalam perjalanan dari Jerantut ke Seremban. Pertembungan itu telah menyebabkan treler tangki menghempap kereta berkenaan dan kedua-dua kenderaan terbakar," katanya.

Mohd Nasyim berkata pemandu lori berusia 37 tahun itu bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dan hanya cedera ringan.

Beliau berkata proses bedah siasat akan dijalankan esok.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.