Kereta bertembung lori tangki, beberapa individu dipercayai rentung

14 Ogos 2026, 2:03 PM
Kereta bertembung lori tangki, beberapa individu dipercayai rentung

SHAH ALAM, 14 OGOS: Beberapa individu dipercayai rentung selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki sebelum kedua-dua kenderaan terbakar di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu menyebabkan operasi pemadaman dan penyelamatan mengambil masa berikutan lori tangki terbabit membawa muatan 32,000 liter diesel dan petrol.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan membabitkan sebuah lori tangki dan kereta yang sedang terbakar di lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori tangki yang membawa muatan diesel dan petrol dari Seremban menuju ke Temerloh dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Pada masa sama, sebuah kereta dipercayai Perodua Bezza bertembung dengan bahagian sisi lori tangki berkenaan.

Anggota bomba menjalankan operasi pemadaman selepas sebuah kereta dan lori tangki terbakar dalam kemalangan di Jalan Temerloh-Triang, Temerloh. Foto Facebook netizen

“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan terbakar.

“Pemandu lori seorang lelaki berusia 37 tahun, berjaya menyelamatkan diri dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nasyim berkata pemandu serta penumpang kereta berkenaan dipercayai gagal menyelamatkan diri sebelum kenderaan itu terbakar.

Bagaimanapun, jumlah sebenar mangsa dan identiti mereka belum dapat dipastikan berikutan keadaan kereta yang remuk teruk serta proses pemadaman api yang mengambil masa.

“Pasukan siasatan polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih berada di lokasi bagi mendapatkan pengesahan jumlah mangsa dan butiran mereka.

“Setakat ini, kita percaya terdapat mangsa yang rentung dalam kereta berkenaan, namun jumlah sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau berkata pemandu lori tangki akan ditahan bagi membantu siasatan lanjut, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.