SHAH ALAM, 15 OGOS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap beberapa premis perniagaan susulan pemeriksaan di sekitar Subang Jaya dan Puchong semalam.
Pemeriksaan dilakukan Jabatan Penguatkuasaan MBSJ dengan kerjasama Jabatan Pelesenan dan Jabatan Bangunan di Jalan SS 15, Subang Jaya serta Jalan Utama 2/1, Taman Perindustrian Puchong Utama.
"Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan dimiliki warganegara Malaysia, namun dikendalikan pekerja warga asing," kata MBSJ menerusi Facebook.
Susulan itu, MBSJ mengambil tindakan terhadap premis yang didapati melakukan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang.
"Antara tindakan dikenakan ialah Notis Tawaran Kompaun (NTK) dan sitaan terhadap premis terbabit. Selain itu, Notis Penutupan Premis Establisymen Makanan turut dikeluarkan dalam operasi berkenaan," kata kenyataan itu lagi.
Operasi tersebut merupakan sebahagian usaha berterusan MBSJ bagi memastikan aktiviti perniagaan dalam kawasan pentadbirannya mematuhi syarat lesen dan peraturan ditetapkan.
Langkah penguatkuasaan berkenaan turut memberi perhatian terhadap aspek kebersihan, keselamatan serta ketenteraman awam.
MBSJ memaklumkan pemantauan dan penguatkuasaan akan diteruskan secara berkala terhadap premis perniagaan dalam kawasan pentadbirannya.
Usaha itu bagi memastikan kawasan pentadbiran MBSJ sentiasa berada dalam keadaan selamat, bersih, teratur dan kondusif.









