SHAH ALAM, 15 OGOS: Selepas 28 tahun, Selangor kembali menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA). Penganjuran temasya sukan terbesar tanah air sejak tahun 1986 itu dijangka berlangsung dalam serba sederhana tetapi meriah.
Sebanyak 468 acara dipertanding meliputi 37 jenis sukan, kedua terbanyak dalam sejarah SUKMA. Malah, bilangan keseluruhan atlet dan pegawai kontinjen juga paling ramai iaitu seramai 13,400 orang.
Seramai 10,000 sukarelawan terlatih juga terlibat bagi melicinkan lagi perjalanan acara yang dijalankan meliputi 52 gelanggang di serata sembilan daerah di Selangor.
SUKMA 2026 juga mungkin paling sengit lantaran penganjuran kali ini diadakan di bumi Selangor - negeri paling berjaya dalam temasya tersebut. Meski sedekad kempunan kejuaraan, kali ini atlet negeri beraksi depan sorakan gamat penyokong sendiri.

Sememangnya Selangor negeri paling banyak mengecap kejuaraan - sembilan kali. Bahkan, pernah mendominasi temasya dwitahunan itu selama 10 tahun berturut-turut, dari 1996 hingga 2006.
Bak kata ketua pegawai eksekutif sekretariat SUKMA Selangor, edisi ke-22 ini bukan sekadar acara sukan, sebaliknya pentas meneruskan tradisi kecemerlangan sejak puluhan tahun.
Malah, Dato’ Mohd Yazid Sairi menegaskan Selangor bukan sekadar tuan rumah - menyediakan aneka kemudahan dan memastikan kelancaran acara, sebaliknya memikul legasi selaku kontinjen paling berjaya.
“Selangor boleh dianggap sebagai ‘Home of Champions’ kepada SUKMA dan tiada negeri lain yang berjaya menjuarai SUKMA lebih banyak daripada Selangor,” katanya kepada Media Selangor baru-baru ini.
Kali ini, Selangor menetapkan sasaran 80 pingat emas demi memburu kejuaraan ke-10 di bumi bertuah Darul Ehsan. Kali terakhir melakukannya pada SUKMA 2016 di Sarawak.
Semuanya tergalas di bahu 1,029 atlet dan pegawai kontinjen negeri yang bakal berdepan 14 lagi kontinjen dari seluruh negara selain Brunei selaku kontinjen jemputan mulai 15 hingga 24 Ogos.
Selangor turut menawarkan ganjaran yang bukan sedikit. Atlet negeri yang meraih pingat emas bakal menerima ganjaran antara RM2,000 hingga RM5,000 seorang jika Selangor muncul juara keseluruhan.
Tekad Selangor terserlah dalam maskot rasmi SUKMA. Maskot helang putih jantan dinamai Sakti, membawa maksud kekuatan dan kuasa luar biasa dalam bahasa Melayu klasik. Pasangannya pula bernama Seri yang membawa maksud keindahan atau keanggunan.
Ibarat serampang dua mata, Selangor bersungguh-sungguh untuk muncul sebagai penganjur paling ‘berseri’ dan kembali ‘sakti’ mengungguli arena sukan tanah air.
“SUKMA bukan hanya medan mempertaruh kekuatan tetapi pada masa sama menzahirkan mutu dan nilai yang indah,” kata EXCO Sukan Najwan Halimi dalam pelancaran nama maskot pada 19 Jun.
Bahang kemeriahan sebenarnya telah dirasai lebih awal. Larian Obor sejak 10 Mei, dari Dataran Kemerdekaan, Shah Alam merentas ke semua wilayah pentadbiran 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) meliputi sembilan daerah.
Belasan ribu peserta menyertai larian santai yang diadakan setiap hujung minggu sebelum berakhir di D’Pulze, Cyberjaya pada 9 Ogos. Ia diikuti majlis pembukaan rasmi SUKMA di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 15 Ogos, menandai bernyalanya obor persaingan.

Cabaran ekonomi
Meski penganjuran kali ini dibayangi kesan ekonomi akibat konflik di Asia Barat yang masih berlarutan sejak Februari, SUKMA 2026 bertema Rentak Kita, Aksi Kita tetap dirancang rapi meski berdepan pancaroba di sana sini.
Sememangnya SUKMA sendiri tidak pernah sunyi dari perdebatan ramai. Dari isu had usia, penetapan acara hingga penyertaan atlet kebangsaan.
Pun begitu, bukan mustahil temasya edisi ke-22 menempa sejarah sebagai penganjuran yang akan dikenang sebagai SUKMA paling kemas lagi tersusun seperti yang dihasratkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Meskipun peruntukan asal penganjuran dikurangkan dari RM100 juta kepada hanya RM40 juta hingga RM50 juta ekoran kesan ketegangan geopolitik dunia, ia tidak bermakna mutu pertandingan mahupun penganjuran SUKMA dikesampingkan.
Langkah penjimatan selaras titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hanya tertumpu kepada pengecilan kos operasi antaranya logistik, elaun, sewaan peralatan dan perasmian tanpa mengabai aspek kemudahan sukan dan kelancaran acara.
Malah, Baginda memperkenan penganjuran SUKMA diteruskan secara berhemah dan memberi keutamaan kepada penjimatan termasuk mengelak perbelanjaan besar untuk majlis pembukaan dan penutupan. Justeru, hampir 80 peratus kos majlis berkenaan dikecilkan daripada RM10 juta kepada kurang RM2 juta.
“Baginda sukacita dengan hasil pertemuan dan berpuas hati dengan langkah pihak penganjur untuk mengurangkan perbelanjaan melihat kepada persekitaran ekonomi semasa,” menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Office pada 29 April.
Selangor juga berdepan cabaran lantaran tiada peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada negeri tuan rumah yang lazimnya bernilai puluhan atau ratusan juta seperti tahun-tahun sebelum ini.
Menurut Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, bantuan kerajaan persekutuan tidak disalur dalam bentuk peruntukan kewangan berdasarkan keputusan Kabinet sebaliknya diberi dalam bentuk kemudahan sukan bawah KBS.
Kemudahan itu antaranya Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan bagi acara berbasikal trek. Penjimatan tersebut juga atas sebab penjimatan lantaran kesan konflik di Asia Barat.
Pun begitu, tanpa perbelanjaan gah, banyak prasarana sukan dinaik taraf. Umpamanya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menaik taraf Stadium MBPJ, hoki, sukan BMX dan tenis yang menelan belanja hampir RM10 juta. Kira-kira RM100 juta digunakan PBT bagi membaik pulih prasarana sedia ada.
Perbelanjaan itu pula bukan pembaziran. Kemudahan berkenaan boleh digunakan masyarakat setempat untuk kegunaan jangka panjang usai penganjuran SUKMA. Bahkan sebahagiannya memang hanya menunggu masa sesuai untuk dibaik pulih.
“Contoh baik pulih Pusat Akuatik (Selangor). Memang sudah sampai masa kita naik taraf, kebetulan kita penganjur SUKMA. Lepas ini boleh jadi pusat sukan untuk masyarakat dan tempat latihan,” kata Najwan.

Sebanyak 52 gelanggang disediakan untuk menjadi medan persaingan atlet hasil kesungguhan PBT dan agensi negeri selain kerjasama pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi (IPT) dan sektor swasta.
Apapun, SUKMA sebenarnya bukan perihal sukan semata-mata. Ia simbol kebersamaan rakyat rentas kaum dan agama. Menjadi pemicu kerancakan sektor pelancongan. Juga pemangkin ekonomi setempat.
Dalam asyik menyaksikan pertarungan atlet, ada peniaga menghitung untung wang ringgit, ada pemilik rumah inap ramah menerima tempahan. Pendek kata, di mana ada acara SUKMA, di situ ada limpahan nikmat.









