SHAH ALAM, 8 NOV: Selangor diumum tuan rumah penganjuran Sukan Solidariti Islam (ISG) edisi ke tujuh yang akan berlangsung pada 2029.
Dato’ Menteri Besar berkata pengumuman dibuat Persatuan Sukan Solidariti Islam (ISSA) sebentar tadi menggambarkan keyakinan dunia luar kepada negeri ini sebagai hos.
“Alhamdulillah sebentar tadi ISSA mengumumkan Selangor dianugerahkan tanggungjawab sebagai hos ISG ke tujuh pada 2029.
“Ini menggambarkan keyakinan kepada Selangor untuk menganjurkan pertandingan sukan yang melibatkan sehingga 57 negara dari seluruh dunia,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi kenyataan malam ini.
Beliau berkata persediaan dan pengalaman sebagai tuan rumah penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA 2026) akan dapat memperkukuhkan kapasiti negeri untuk menjadi pentas atlet ISG 2029.
“Kerajaan Negeri sedang mengusahakan peningkatan infrastruktur dan fasiliti tempatan sebagai persiapan SUKMA ke-22 dan ini akan menjadi dorongan atlet negeri untuk meningkatkan prestasi menjelang ISG,” katanya.
Selain Malaysia, dua lagi negara iaitu Uzbekistan dan Iran turut berhasrat menjadi tuan rumah kepada sukan ketiga terbesar di dunia selepas Sukan Olimpik dan Sukan Asia.
Ketika ini ISG sedang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi dari 7 hingga 21 November ini dengan menghimpunkan atlet elit 57 negara yang bersaing dalam 23 acara bertaraf dunia.
Malaysia turut mempunyai rekod membanggakan di arena berkenaan apabila berada di kedudukan ke-10 dalam carta keseluruhan pungutan pingat.
Atlet negara sudah meraih 91 pingat membabitkan 33 emas, 23 perak dan 41 gangsa sekali gus memperlihatkan kekuatan sukan Malaysia di pentas ini.





