Selangor kenal pasti tapak pencawang baharu atasi masalah voltan rendah

13 Ogos 2026, 11:30 AM
Selangor kenal pasti tapak pencawang baharu atasi masalah voltan rendah

SHAH ALAM, 13 OGOS: Kerajaan Negeri akan mengenal pasti beberapa tapak mendirikan pencawang elektrik memandangkan ketika ini terdapat kawasan mengalami isu bekalan voltan rendah.

EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata perkara itu sudah dibincang bersama syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan tindakan susulan akan dibuat secepat mungkin.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati masalah berpunca apabila pemilik tanah membina pembangunan lot lidi tanpa menyediakan ruang untuk tapak pencawang.

“Ada beberapa Yang Berhormat (Ahli Dewan Negeri) timbulkan masalah ini. Saya juga terima makluman dari TNB. Kalau dahulu di sekitar Klang, Banting alami masalah voltan rendah.

“Sekarang Ijok, Permatang dan banyak tempat dah mula hadapi masalah sama. Bila bangunkan lot lidi, banyak pintu dibuat tetapi tak ada ruang untuk tapak pencawang elektrik.

“Jadi kita akan cari tapak pencawang untuk naikkan semula voltan elektrik. Perkara ini akan diambil tindakan segera serta tuntas,” katanya ketika menggulung usul Rancangan Selangor Kedua (RS-2) di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sebelum ini, beberapa ADN antaranya Ijok, Jefri Mejan dan Permatang, Nurul Syazwani Noh membawa isu elektrik bervoltan rendah dan memohon masalah berkenaan ditangani demi kesejahteraan rakyat.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.