Pembangunan rumah mampu milik perlu dilengkapi kemudahan sokongan – ADN

12 Ogos 2026, 12:30 PM
Pembangunan rumah mampu milik perlu dilengkapi kemudahan sokongan – ADN

SHAH ALAM, 12 OGOS: Pembinaan rumah mampu milik di Selangor perlu disusuli penyediaan kemudahan asas, kawasan bersama dan infrastruktur berkualiti supaya pemilik bukan sahaja memiliki kediaman, malah dapat menikmati persekitaran hidup yang selesa dan selamat.

Ahli Dewan Negeri Kota Damansara, Izuan Kasim berkata aspek kualiti pembinaan perlu diberi perhatian susulan terdapat kediaman yang sudah diserahkan kepada pembeli tetapi masih berdepan isu seperti keretakan serta kemudahan bersama yang tidak lengkap.

Menurutnya, perkara itu perlu ditangani supaya pembangunan rumah mampu milik tidak hanya berorientasikan pencapaian sasaran unit, sebaliknya turut menjamin kualiti dan keselesaan penghuni.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Izuan Kasim berucap ketika Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 12 Ogos 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Rumah yang akan dibina perlu mempunyai kualiti. Ada sebahagian sudah mendapat kunci tetapi banyak isu berbangkit seperti keretakan, kawasan bersama tidak lengkap dan lebih malang pemaju tidak mengambil endah dengan tidak melakukan pembaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul berhubung Rancangan Selangor Kedua (RS-2) pada persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Izuan berkata Kerajaan Negeri menyasarkan pembinaan 200,000 unit rumah mampu milik di seluruh Selangor, dengan 64,000 unit sudah siap dan 69,000 unit sedang dibina, manakala baki unit akan dilaksanakan dalam tempoh RS-2.

Dalam pada itu, beliau menggesa aspek keterhubungan pengangkutan awam turut diberi perhatian dalam pembangunan perumahan supaya penduduk mempunyai akses mudah kepada kemudahan tersebut.

Katanya, pelaksanaan Transit Aliran Ringan (LRT3), khususnya, perlu disokong laluan pejalan kaki yang baik bagi memudahkan penduduk bergerak dari kawasan kediaman ke stesen.

“Dalam kita hendak menggalakkan masyarakat menggunakan pengangkutan awam tetapi infrastruktur yang ada tidak saling melengkapi, ini membuat rakyat tidak berminat untuk menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.