RS-2: Selangor sasar pendapatan median isi rumah lebih RM14,000

13 Ogos 2026, 10:35 AM
RS-2: Selangor sasar pendapatan median isi rumah lebih RM14,000

SHAH ALAM, 13 OGOS: Kerajaan Selangor menyasarkan pendapatan median isi rumah melebihi RM14,000 sebulan menerusi pelaksanaan Rancangan Selangor Kedua (RS-2), sebagai antara ukuran untuk mencapai tahap kehidupan yang lebih bermaruah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sasaran berkenaan mengambil kira keperluan perbelanjaan asas isi rumah di Selangor yang dianggarkan sekitar RM7,266 sebulan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sesi penggulungan pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di Shah Alam pada 13 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

“Dalam RS-2 kita tetapkan pendapatan median yang perlu diperolehi untuk sesebuah isi rumah untuk pendapatan bermaruah ataupun kehidupan bermaruah adalah lebih daripada RM14,000.

“Secara keseluruhannya sesebuah isi rumah di negeri Selangor perlu berbelanja sekitar RM7,266 sebulan bagi keperluan asas, baik daripada segi perumahan, pengangkutan, makanan di luar ataupun makanan di dalam (rumah),” katanya ketika sesi penggulungan pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Menurut Amirudin, empat komponen berkenaan merangkumi 66.3 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan isi rumah, sekali gus menjadikan pendapatan median antara ukuran penting dalam menilai impak sesuatu rancangan pembangunan.

Beliau berkata pendapatan median isi rumah Selangor meningkat daripada RM8,210 sebelum pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) kepada RM10,726 pada 2024 berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Pendapatan median ini antara tujuh perkara yang telah melepasi sasaran RS-1, selain pendapatan rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri tidak hanya menggunakan nilai gaji keseluruhan atau purata sebagai ukuran, sebaliknya memberi tumpuan kepada pendapatan median bagi mendapatkan gambaran lebih tepat mengenai pencapaian ekonomi isi rumah.

Katanya, pendekatan sama akan diteruskan menerusi RS-2 dengan pencapaian sasaran pendapatan median dinilai berdasarkan angka dan data.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.