SHAH ALAM, 13 OGOS: Zon kutipan sampah di beberapa kawasan sekitar Subang Jaya perlu dinilai semula bagi memastikan perkhidmatan kutipan dapat menampung peningkatan jumlah sisa susulan kepadatan penduduk dan aktiviti komersial.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata perhatian khusus diberikan terhadap pengurusan sampah di USJ 2, USJ 4, SS15, SS16 dan SS17 yang mencatat kadar penjanaan sampah tinggi.
"Model zon kutipan sedia ada tidak boleh dianggap kekal sekiranya corak penjanaan sampah telah berubah.
"Saya bersetuju KDEB Waste Management (KDEBWM) bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) perlu menilai semula zon kutipan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini, menjawab isu pengurusan sampah yang dibangkitkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze.
Menurut Suee Lim, penilaian itu perlu mengambil kira beberapa faktor termasuk jumlah premis dalam setiap zon, jumlah sampah dijana, kapasiti lori, bilangan perjalanan serta kekerapan kutipan.
Katanya, penyusunan semula zon perlu dipertimbangkan sekiranya hasil penilaian mendapati sesuatu zon terlalu besar atau beban kutipan tidak lagi seimbang.
"Sekiranya hasil penilaian menunjukkan zon terlalu besar atau beban kutipan tidak lagi seimbang, penyusunan semula zon perlu dipertimbangkan supaya tahap perkhidmatan kepada penduduk dapat ditingkatkan," katanya.







