SUBANG JAYA, 9 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memperkukuh kerjasama strategik bersama KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di seluruh kawasan pentadbirannya.
Datuk Bandar MBSJ, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata pengurusan sisa pepejal kekal sebagai tanggungjawab PBT dan akan diteruskan bersama KDEB menerusi kontrak baharu yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu.
“Seperti yang semua sedia maklum, pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam oleh PBT telah dilaksanakan bersama KDEBWM.
"Kini kita melantik (KDEBWM) menerusi kontrak kali kedua bermula 1 Januari 2026 bagi tempoh tujuh tahun dengan beberapa penambahbaikan,” katanya kepada media selepas Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis MBSJ, di sini, hari ini.

Menurut beliau, penambahbaikan itu melibatkan peningkatan kekerapan serta jumlah kutipan sisa pepejal dan kerja-kerja pembersihan awam bagi memastikan perkhidmatan yang lebih konsisten kepada penduduk.
Katanya, selepas mesyuarat jawatankuasa berkaitan, pihak KDEDWM akan dipanggil untuk membuat pembentangan kepada semua ahli majlis berhubung prosedur, garis panduan serta penjadualan operasi di setiap zon pentadbiran MBSJ.
Langkah itu, katanya, bertujuan memastikan semua ahli majlis memahami sepenuhnya pelaksanaan pengurusan sisa pepejal di zon masing-masing, sekali gus memperkukuh pemantauan perkhidmatan di peringkat komuniti.
Terdahulu, seramai 24 Ahli Majlis MBSJ mengangkat sumpah dan menandatangani watikah pelantikan bagi penggal 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027, melibatkan 10 muka baharu manakala 14 lagi dilantik semula.


