19 lori baharu KDEBWM tingkat kecekapan kutipan sampah di Sabak Bernam

6 Jan 2026, 2:51 AM
19 lori baharu KDEBWM tingkat kecekapan kutipan sampah di Sabak Bernam

SABAK BERNAM: KDEB Waste Management (KDEBWM) memperkasa operasi pengurusan sisa domestik dan pukal fasa kedua di daerah Sabak Bernam menerusi peruntukan kira-kira RM6.4 juta bagi pembelian 19 lori baharu.

Pengarah Urusannya, Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata penyerahan aset tersebut menandakan kemasukan KDEBWM ke fasa kedua kontrak selama tujuh tahun bersama pihak berkuasa tempatan, selepas hampir tujuh tahun beroperasi di daerah itu.

Menurut beliau, langkah berkenaan selari dengan amalan penambahbaikan berterusan yang dilaksanakan KDEBWM di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor bagi memastikan perkhidmatan pengurusan sisa lebih cekap dan berkesan.

Antara penambahbaikan utama fasa baharu itu ialah pertambahan zon operasi daripada 16 kepada 19 zon, sekali gus membolehkan pengurusan sisa pepejal melibatkan hampir 120,000 penduduk dan kira-kira 50,000 premis dikendalikan secara lebih sistematik mengikut jadual ditetapkan.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir dan Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) Awaluddin Zakaria bersama-sama sempena majlis penyerahan lori kompaktor dan armroll baharu kepada Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) di Stadium Sungai Besar pada 5 Januari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Penyerahan 19 lori baharu berwarna merah dan kuning, yang melambangkan warna cinta Selangor, diharap dapat meningkatkan kecekapan operasi serta menyelesaikan isu berkaitan sampah di Sabak Bernam secara tuntas dan menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Penyerahan Lori Baharu KDEBWM yang diadakan di pekarangan Stadium Sungai Besar di sini, semalam.

Ramli turut menegaskan komitmen KDEBWM untuk memberikan perkhidmatan berkualiti tanpa mengira status kawasan sama ada bandar raya, perbandaran atau majlis daerah.

“Justeru, orang ramai digalakkan menyalurkan aduan berkaitan kebersihan menerusi platform Facebook, WhatsApp dan Instagram KDEBWM dengan menyertakan gambar serta lokasi tepat bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.

Beliau memaklumkan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menjadi PBT ke-10 yang menyambung kontrak kitaran kedua bersama KDEBWM, dengan dua lagi PBT dijangka menyusul dalam masa terdekat.

Perkembangan itu, katanya, membuktikan keyakinan PBT terhadap tahap kualiti dan keberkesanan perkhidmatan yang ditawarkan KDEBWM.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir dan Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) Awaluddin Zakaria melihat lori armroll sempena majlis penyerahan lori kompaktor baharu kepada Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) di Stadium Sungai Besar pada 5 Januari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Yang Dipertua MDSB, Awaluddin Zakaria berkata kontrak baharu serta penerimaan 19 lori berimej merah dan kuning membuka ruang besar untuk penambahbaikan perkhidmatan kebersihan, khususnya melibatkan kerja pembersihan longkang dan kawasan awam.

Menurut beliau, usaha itu selari dengan hasrat menjadikan Sabak Bernam sebagai daerah luar bandar yang bersih, terurus dan mesra pelancong.

Beliau menambah, Sabak Bernam mempunyai lebih 140 inap desa berdaftar, selain beberapa lokasi eko-pelancongan dan antara sumber bekalan makanan utama negara, justeru tahap kebersihan yang tinggi amat penting bagi menarik pelancong serta pelabur.

"Semua pihak termasuk Ahli Majlis, pemimpin masyarakat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Badan Pengurusan Bersama (JMB) serta penduduk setempat diseru berganding bahu bersama KDEBWM dan pihak majlis dalam menjaga kebersihan kawasan masing-masing.

"Pengurusan sisa pepejal merupakan tanggungjawab bersama komuniti bagi merealisasikan aspirasi Sabak Bernam Bersih dan Indah untuk tempoh tujuh tahun akan datang," katanya.