SHAH ALAM, 7 OGOS: KDEB Waste Management (KDEBWM) telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mempertimbangkan pemberian subsidi diesel kepada lori Roll-On Roll-Off (Roro) bagi memastikan operasi kutipan sisa pepejal di Selangor berjalan lancar.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata permohonan itu dibuat berikutan peningkatan kos operasi susulan kenaikan harga diesel, selain bagi memastikan perkhidmatan asas kepada rakyat tidak terjejas.
"KDEBWM telah mengemukakan permohonan kepada kementerian agar lori Roro turut dipertimbangkan di bawah mekanisme subsidi diesel. Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga sedang meneliti keperluan bantuan kewangan tambahan kepada KDEBWM bagi menampung sebahagian peningkatan kos operasi yang berpunca daripada kenaikan harga diesel.
"Kerajaan Negeri memandang serius perkara ini kerana kesinambungan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam merupakan keutamaan demi kesejahteraan rakyat.
"Oleh itu, Kerajaan Negeri komited mengambil langkah sewajarnya serta mempercepat penyelesaian yang bersesuaian supaya operasi KDEBWM dapat terus berjalan dengan stabil, sekali gus memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat Selangor terus terpelihara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze mengenai kesan kenaikan harga diesel terhadap kos operasi dan kelancaran perkhidmatan KDEBWM pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Terdahulu, Suee Lim berkata KDEBWM telah melaksanakan pelbagai langkah penjimatan dan pengoptimuman operasi bagi mengurangkan kesan kenaikan kos diesel, termasuk memperkemaskan laluan kutipan.
"Selain itu, KDEBWM turut mengoptimumkan penggunaan lori dan tenaga kerja, memperkukuh pemantauan penggunaan bahan api serta meningkatkan kecekapan pengurusan armada.
"Bagaimanapun, ruang penjimatan dalaman kini semakin terhad kerana perkhidmatan ini merupakan perkhidmatan asas yang perlu diteruskan setiap hari demi menjaga kebersihan dan kesihatan awam," katanya.
Sebelum ini, KDEBWM memohon kerajaan mempertimbangkan subsidi diesel berjadual kepada 800 lori Roro miliknya susulan peningkatan kos operasi yang kini mencecah hampir RM5 juta sebulan.
Pengarah Urusannya, Dato' Ramli Mohd Tahir, berkata ketika ini hanya 500 lori kompaktor syarikat itu layak menerima subsidi diesel, manakala semua lori Roro masih perlu membeli bahan api pada harga pasaran.
Beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula rayuan berkenaan memandangkan 800 lori Roro milik KDEBWM masih belum layak menerima subsidi diesel berjadual.







