Kutip sampah: Di sebaliknya ada cerita manusia yang jarang didengar

1 Mei 2026, 1:00 AM
Kutip sampah: Di sebaliknya ada cerita manusia yang jarang didengar
Kutip sampah: Di sebaliknya ada cerita manusia yang jarang didengar
Kutip sampah: Di sebaliknya ada cerita manusia yang jarang didengar

SHAH ALAM, 1 MEI: Ketika kebanyakan masyarakat masih lena dibuai tidur, ada insan yang telah bangkit memulakan tugas tanpa sorotan, tanpa pujian demi memastikan persekitaran kekal bersih dan selesa untuk semua.

Bagi pemandu lori KDEB Waste Management (KDEBWM), Shaiful Anuar Mohd Noor, 48, rutin hariannya bermula seawal jam 3 pagi, ketika jalan raya masih sunyi dan kota masih diselubungi gelap.

Selama lapan tahun, beliau setia menabur bakti dalam bidang pengurusan sisa pepejal, satu pekerjaan yang jarang dipandang, namun amat penting dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.

“Saya akan bersiap seawal jam 3 pagi sebelum bergerak ke depoh. Biasanya kami mula bertugas sekitar jam 3.30 pagi dengan memeriksa keadaan kenderaan terlebih dahulu sebelum keluar ke kawasan tugasan pada jam 4 pagi,” katanya kepada Media Selangor.

Pekerja pembersihan KDEB Waste Management (KDEBWM) mengutip sampah di sekitar kawasan Klang pada 29 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, tugas mereka bermula di kawasan komersial sebelum memasuki kawasan perumahan untuk mengutip sisa domestik dan sampah harian penduduk.

“Biasanya kami bekerja antara lapan hingga sembilan jam sehari. Pada sebelah petang pula, kami akan bergerak ke landfill untuk proses pelupusan sampah yang telah dikutip,” katanya.

Namun di sebalik rutin yang kelihatan biasa itu, tersimpan pelbagai cabaran yang jarang disedari.

Setiap hari, beliau berdepan laluan sempit yang menyukarkan pergerakan lori, jadual kutipan yang tidak dipatuhi penduduk, serta sikap sambil lewa dalam mengasingkan sampah, semuanya menjadi halangan yang perlu ditempuh demi memastikan tugas tetap disempurnakan.

“Ada penduduk yang tidak mengasingkan sampah dengan betul. Kadang-kadang ada kaca, barang tajam dan benda berbahaya bercampur sekali. Ini sangat berisiko kepada kami.

“Kadang-kadang kami sendiri terpaksa mengasingkan sampah yang boleh dikitar semula. Kalau tidak, kompaktor akan cepat penuh dan kerja jadi lebih sukar,” jelasnya.

Tambah Shaiful dalam panas yang membahang atau hujan yang mencurah tanpa henti, tugas tetap perlu digalas seperti biasa tanpa ruang untuk ditangguh.

“Kerja ini memang mencabar. Panas atau hujan, kami tetap turun bekerja kerana sampah tidak boleh tunggu,” katanya ringkas, namun penuh makna.

Pemandu lori, Shaiful Anuar Mohd Noor bercakap kepada Media Selangor ketika kutipan sampah di sekitar kawasan Klang pada 29 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Dalam ribuan rutin yang dilalui, ada kisah yang meninggalkan kesan mendalam. Antaranya apabila seorang penduduk tanpa sengaja membuang barang kemas ke dalam tong sampah dan ketika disedari, semuanya sudah berakhir di tapak pelupusan.

“Situasi seperti itu memang menyedihkan. Sebab itu saya harap masyarakat lebih berhati-hati dan peka, terutama bila melibatkan barang berharga,” katanya.

Menurut Shaiful, perubahan sikap masyarakat hari ini sedikit sebanyak menjadi penyuntik semangat buat mereka yang saban hari bergelumang dengan sisa dan kotoran.

Jika dahulu pekerjaan ini sering dipandang rendah, kini semakin ramai yang mula menghargai pengorbanan mereka, satu perubahan yang cukup dirasai.

“Dulu memang ada yang pandang hina bila kami bekerja. Tapi sekarang, ramai yang lebih prihatin. Ada yang hulurkan air, beri makanan, malah ucap terima kasih.

“Perkara kecil macam itu… sebenarnya sangat besar maknanya buat kami,” katanya, dengan nada yang sarat emosi.

Bagi Shaiful, segala pandangan negatif yang pernah diterima tidak pernah mematahkan semangatnya. Sebaliknya, ia menjadi dorongan untuk terus kuat menjalankan amanah yang dipikul demi rakyat dan negeri.

Pekerja pembersihan KDEB Waste Management (KDEBWM) mengutip sampah di sekitar kawasan Klang pada 29 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Tanpa kami, sampah ini tidak akan dibersihkan. Kami buat kerja ini dengan ikhlas, amanah dan jujur untuk cari rezeki bagi keluarga.

“Pandangan hina itu saya jadikan kekuatan. Niat kami hanya satu, mahu pastikan kawasan sentiasa bersih dan selamat untuk semua,” katanya penuh tekad.

Selepas seharian bergelumang dengan sisa dan kotoran, langkahnya kembali ke rumah menjelang petang, disambut keluarga yang menjadi sumber kekuatan paling besar untuk terus bertahan esok hari.

Di sebalik keletihan, di situlah tempatnya mengumpul semula semangat, sebelum kembali menyambung tugas yang tidak pernah berhenti.

Bersempena Hari Pekerja, Shaiful berharap masyarakat lebih memahami peranan petugas kebersihan dan tampil memberi kerjasama sewajarnya, khususnya dalam mengasingkan sampah.

“Semangat itu mesti ada. Apa yang kami lakukan ini untuk rakyat dan Negeri Selangor.

“Nasihat saya, asingkan sampah supaya kerja kami lebih mudah. Kami buat semua ini untuk masyarakat, tanpa kami, kawasan perumahan tidak akan bersih,” katanya, tegas namun penuh harapan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.