SHAH ALAM, 13 OGOS: Kerajaan Negeri menyangkal dakwaan peneroka di Pulau Carey, Kuala Langat perlu menyerahkan 50 peratus hasil pertanian susulan tanah yang diusahakan kini berada di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah menjelaskan dakwaan berhubung penyerahan hasil pertanian itu tidak benar sama sekali, manakala JAIS ketika ini sedang mengambil tindakan terhadap pencerobohan tanah berkenaan.
“Kerajaan Negeri ingin meyakinkan dan memperbetulkan kekeliruan berhubung dakwaan pihak tertentu mengenai penyerahan 50 peratus hasil pertanian.
“Dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali. Buat masa ini JAIS sedang mengambil tindakan terhadap pencerobohan tanah tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sijangkang Dato' Ahmad Yunus Hairi berkaitan isu peneroka India di Pulau Carey serta dakwaan mengenai kaedah sewaan dan penyerahan hasil pertanian bagi tanah di bawah pengurusan JAIS ketika sesi penggulungan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.
Mohammad Fahmi berkata sekiranya tanah berkenaan perlu disewakan, kadar sewaan akan ditentukan mengikut prosedur dan penilaian yang ditetapkan.
“Sekiranya tanah tersebut perlu disewa, kadar sewaan tanah akan ditentukan oleh Jawatankuasa Sewaan JAIS mengikut prosedur serta penilaian yang telah ditetapkan,” katanya.







